KUALA LUMPUR – Operasi pengusiran baki penduduk Kampung Sungai Baru menjadi tegang selepas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman cedera dirempuh penduduk.
Dalam kekecohan itu, Suzilme dilihat mengalami luka berdarah pada bahagian muka sebelum segera dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan.

Difahamkan kecederaan akibat terkena batu yang dibaling.
Insiden itu mencetuskan rasa panik dalam kalangan petugas keselamatan dan menambahkan ketegangan di lokasi.
Kejadian berlaku ketika operasi diketuai bailif mahkamah dengan kerjasama beberapa agensi susulan arahan mahkamah bagi melaksanakan proses perobohan struktur rumah di kawasan berkenaan.

Penduduk terutamanya golongan yang rumahnya bakal diroboh dilihat sudah berkumpul di sekitar kawasan operasi dan sebahagiannya menuntut pihak berkuasa menghentikan tindakan tersebut dan mahu mengadakan perbincangan.
Ada juga yang mendesak supaya dibenarkan masuk ke kawasan rumah mereka hingga mencetuskan suasana tolak-menolak dengan pasukan kawalan.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kawalan keselamatan semakin diperketat dengan anggota polis ditempatkan di beberapa pintu masuk kawasan perumahan terbabit.
Walaupun berdepan provokasi penduduk, polis hanya menggunakan pembesar suara untuk menenangkan keadaan tanpa bertindak secara kekerasan.

Bagaimanapun ketegangan terus memuncak apabila bailif mahkamah dilihat mengeluarkan arahan tegas supaya rumah yang tidak memberi kerjasama akan dirobohkan serta-merta.
Arahan itu mencetuskan bantahan lantang penduduk yang enggan berganjak walaupun diberi masa untuk mengalihkan barangan masing-masing.
Sebahagian penduduk mengambil peluang memindahkan barang ke luar rumah, namun ada juga yang masih berkeras mempertahankan kediaman mereka walaupun berdepan risiko perobohan.
Setakat ini, wakil media juga tidak dibenarkan memasuki lokasi operasi dan hanya dapat memantau dari luar kawasan yang membataskan akses terhadap perkembangan secara lebih dekat.

Keadaan itu menimbulkan tanda tanya mengenai tahap ketegangan sebenar yang sedang berlaku di dalam kawasan perumahan terbabit.
Situasi di lokasi terus dipantau rapi polis yang dilihat cuba mengelakkan konfrontasi secara fizikal. – MalaysiaGazette
















