SEPANG – “Rambut yang digunting akan sentiasa tumbuh semula. Begitu juga kehidupan manusia, ia boleh segar kembali apabila diberi peluang kedua”.
Demikian antara kata-kata penuh makna yang disampaikan oleh Pengerusi Malaysia Needy Association, K Prakash, dalam ucapan pelancaran Relife Barber Shop dan Car Wash Stesen Komuniti di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Sepang, hari ini.
Menurut beliau, program tersebut bukan sekadar membuka sebuah kedai gunting rambut, sebaliknya menjadi lambang harapan, pemulihan dan integrasi semula ke pangkuan masyarakat bagi insan yang pernah menjalani hukuman penjara.

“Tidak kira seteruk mana seseorang itu pernah tersungkur, masih ada ruang untuk bangkit. Rambut yang tidak tumbuh pun boleh ditanam semula.
“Maka setiap kekurangan pasti ada penyelesaiannya. Begitu juga insan yang mahu berubah, mereka perlu diberi peluang untuk kembali berbakti kepada masyarakat,” katanya pada program dirasmikan oleh Timbalan Komisioner Jeneral Penjara, Ahmad Faudzi Awang.
Menariknya, Relife Barber Shop merupakan kedai pertama yang dibina melalui titik peluh oleh ODS (Orang DiSelia) di PRP Sepang dalam tempoh dua bulan.
ODS merujuk kepada penghuni penjara yang kini berada di bawah pengawasan serta bimbingan Jabatan Penjara Malaysia bagi proses pemulihan dan persediaan sebelum kembali sepenuhnya ke dalam masyarakat.
Golongan ini pernah mengikuti kursus gunting rambut di Penjara Sungai Buloh dapat mempraktikkan kemahiran yang dipelajari di Relife Barber Shop Stesen Komuniti di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP).
Untuk makluman, usaha ini juga selari dengan objektif APPGM–SDG dan Malaysia Needy Association dalam memperkukuh Matlamat Pembangunan Lestari, khususnya berkaitan peluang pekerjaan dan pengurangan jurang sosial.
Prakash berkata lagi, penjara tidak wajar dilihat semata-mata sebagai tempat hukuman, sebaliknya sebagai institusi yang memberi ruang untuk memperkasa individu dengan ilmu dan kemahiran baharu.

“Ramai dalam masyarakat tidak tahu bahawa penghuni penjara diberi peluang mempelajari pelbagai kemahiran seperti pertukangan, jahitan, masakan dan gunting rambut.
“Apabila mereka keluar, kemahiran inilah yang menjadi bekal untuk memulakan kehidupan baharu dengan penuh harga diri,” katanya.
Beliau menegaskan pembukaan Relife Barber Shop dan Car Wash Stesen Komuniti bertujuan memberi ruang kepada penghuni penjara mengasah kemahiran mereka, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya menyokong proses pemulihan dan mengurangkan stigma terhadap golongan tersebut.
“Mereka yang menamatkan hukuman tidak wajar terus dihukum oleh masyarakat. Sebaliknya, kita perlu membuka pintu untuk mereka hidup berdikari dan memberi sumbangan positif.
“Hanya dengan cara ini kita dapat membina komuniti yang lebih inklusif, penyayang dan progresif,” tegasnya.
Selain menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai, Relife Barber Shop juga akan berfungsi sebagai pusat latihan untuk penghuni PRP yang berminat mempelajari bidang dandanan rambut.
Prakash turut menyeru semua pihak termasuk kerajaan, sektor korporat, NGO dan masyarakat umum supaya bersama-sama memberi sokongan kepada usaha sebegini, kerana ia bukan sahaja membantu individu, malah memperkukuh solidariti masyarakat.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Pengarah dan Timbalan Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ketua PRP Sepang, Sekretariat APPGM–SDG,Anggota -Anggota Lembaga Parol serta pegawai dan anggota Jabatan Penjara Malaysia.
Bagi mereka yang pernah tersilap langkah, setiap peluang kedua ibarat sinar baharu yang menyinari jalan gelap.
Relife Barber Shop bukan sekadar tempat mencari rezeki, tetapi ruang membuktikan bahawa manusia mampu berubah, selagi diberi keyakinan dan sokongan oleh masyarakat. -MalaysiaGazette
















