Ketua Polis Kuala Kumpur, Datuk Fadil Marsus.

KUALA LUMPUR – Tujuh individu ditahan setakat ini susulan kekecohan ketika operasi pengosongan rumah teres Kampung Sungai Baru, Khamis lalu sehingga mengakibatkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di kepala.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata terdapat suspek yang berusia 15 dan 19 tahun.

Tambahnya, salah seorang daripada tujuh yang ditahan telah dihadapkan ke mahkamah pada Jumaat.

“Salah seorang suspek telah mengaku salah dikenakan denda RM1,000,” katanya ketika sidang media di Jabatan Siasafan dan Penguatkuasaan Trafik, KL, semalam.

Menurut beliau, susulan tangkapan sebanyak tiga kertas siasatan dibuka antaranya di bawah Seksyen 186 iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Selain itu, Fadil turut mengesahkan terdapat suspek yang ditangkap merupakan ketua dan ahli sebuah pertubuhan, beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama pertubuhan terbabit.

“Mengikut alamat ada juga suspek yang tidak beralamat di Kampung Sungai Baru tapi (masih) dalam siasatan lagi, kita percaya mesti ada kaitan,” katanya.

Sementara itu beliau mengesahkan pihaknya masih mengesan beberapa individu dan akan membuat tangkapan berkaitan kekecohan berkenaan dalam masa yang terdekat.

“Jadi kita perlu bantuan orang ramai untuk salur maklumat,” ujarnya.

Dalam masa yang sama beliau menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi dengan kejadian seperti itu sekiranya ia berulang pada masa akan datang.

“Dalam keadaan sebegini kita banyak gunakan budi bicara dan toleransi dalam kuatkuasakan undang-undang untuk kita mudahkan urusan.

“Sekiranya berlaku lagi begini selepas ini kita tidak akan toleransi, kita akan bertindak agresif dan tegas untuk tegakkan undang-undang, kalau ada yang menghalang penguatkuasa bertugas (akan datang) saya akan ambil tindakan awal,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast