Anggota polis mengeluarkan notis kepada sebuah kereta yang memberhentikan keretanya di lintasan zebra ketika kempen advokasi 'Operasi Patuh Undang-Undang (OP PUU) di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Foto Hari Anggara, 12 SEPTEMBER 2025.

KUALA UMPUR – Sebanyak 11,984 notis amaran dikeluarkan Polis Kuala Lumpur kepada orang ramai yang melakukan kesalahan berkaitan lalu lintas sepanjang enam hari sejak Advokasi Op Patuh Undang-Undang (PUU) bermula pada 6 September lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, advokasi akan diteruskan sehingga satu tempoh sebelum penguatkuasaan Operasi PUU dimulakan.

Berdasarkan jumlah notis amaran tersebut, beliau menyifatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya melibatkan undang-undang lalu lintas tidak begitu baik.

Ketua Polis Kuala Kumpur, Datuk Fadil Marsus membuat teguran dan mengeluarkan notis kepada penunggang motosikal yang melanggar peraturan jalan raya ketika kempen advokasi Operasi Patuh Undang-Undang (OP PUU) di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Foto Hari Anggara, 12 SEPTEMBER 2025.

Sehubungan itu beliau berpendirian, proses advokasi perlu diteruskan demi mendidik dan meningkatkan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat.

“Ops ini akan mendidik perlunya kita patuh undang-undang, angkat kesedaran kita. Bila kita boleh mematuhi sekecil-kecil undang-undang ia mencerminkan kita masyarakat yang beretika, mempunyai kesedaran sivil yang baik yang mana undang-undang yang dikuatkuasakan adalah untuk kebaikan kita,” katanya ketika sidang media sebelum meninjau advokasi yang dijalankan di Bukit Bintang.

Anggota polis mengeluarkan notis kepada sebuah kereta yang memberhentikan keretanya di lintasan zebra ketika kempen advokasi ‘Operasi Patuh Undang-Undang (OP PUU) di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Foto Hari Anggara, 12 SEPTEMBER 2025.

Katanya, kawasan tumpuan orang ramai di ibu kota antara yang menjadi fokus kepada advokasi dijalankan oleh Polis KL, antaranya, Bukit Bintang, Jalan Loke Yew, Jalan Imbi, Jalan Sultan Ismail, Jalan P Ramlee dan banyak lagi.

Menurut Fadil, pihaknya turut membuat hebahan menerusi media sosial selain advokasi di lapangan.

Advokasi Op PUU itu memberi penekanan terhadap kesalahan kecil lalu lintas yang sering diabaikan termasuklah pejalan kaki tidak menggunakan lintasan atau jejantas; berhenti melepasi garisan putih; tidak memakai topi keledar dan banyak lagi.

“Kita ambil undang-undang lalu lintas kerana ia paling ringkas, mudah dan masih orang langgarinya sewenang-wenangnya,” katanya lagi.

Sehubungan itu Fadil berharap, advokasi yang dimulakan oleh Polis KL itu akan mendapat Kerjasama daripada pelbagai agensi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast