KUALA LUMPUR – Penduduk 37 buah rumah setinggan di Lot 56167, Mukim Batu, Jalan 11/32, Taman Jinjang Baru di sini buntu apabila bakal kehilangan rumah yang didiami lebih 60 tahun pada 23 September depan.
Menurut Aktivis Khidmat Komuniti Kepong, Yee Poh Ping, lebih kurang 150 penduduk sekitar lot tersebut menerima notis pengosongan premis daripada mahkamah menerusi Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG).
Ddifahamkan kawasan itu bakal disewakan kepada pihak swasta selama tiga tahun untuk tujuan komersial namun penduduk mendakwa tidak diberikan perincian mengenainya.
Dalam masa yang sama, penduduk juga tidak diberikan alternatif untuk berpindah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau pampasan untuk mencari kediaman lain.

“25 tahun lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ada lancar program sifat setinggan kemudian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ada PPR untuk tempatkan penduduk setinggan termasuk penduduk dari kawasan sekitar ini kecuali lot ini kerana (pada masa itu) DBKL dakwa (tanah) ini hak milik KPM (Kementerian Pendidikan).
“Saya kecewa kerana ada kawasan berdekatan yang disewakan kepada syarikat swasta tapi dipindahkan ke PPR tapi tidak lot ini. Adakah ini double standard?
“Semua penduduk terkejut, hairan kenapa tiba-tiba JKPTG beri notis pengosongan tanpa maklumat terperinci dan lengkap… Mereka dalam keadaan dilemma,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu Poh Ping mendakwa notis pemberitahuan diberikan kepada penduduk pada November tahun lalu.

Susulan itu beliau mewakili penduduk sekitar lot berkenaan telah meminta bantuan daripada pelbagai pihak antaranya JKPT, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRES) , DBKL, Pejabat Perdana Menteri sehinggalah ke Istana Negara namun tiada sebarang maklum balas diterima.
Malah beliau mendakwa tidak mendapat kerjasama daripada Pejabat Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng sebaliknya penduduk di situ pula didakwa menceroboh kawasan berkenaan.
“Apa dasarnya? Mengapa kementerian (NRES) mahu halau penduduk keluar? Kita mahu tanya adalah JKPTG telah menjalankan siasatan terperinci (mengenai) mengapa ada penduduk di sini belum dipindahkan? Mengapa mahu sewakan kepada pihak lain? Adakah ini menunjukkan sikap keprihatinan?
“Kerajaan Madani kata mahu tolong rakyat. Mengapa masig ada penduduk lagi di sini tapi sewakan kepada pihak lain?” soalnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang kini menjalankan tugas menerajui NRES supaya membatalkan penyewaan lot tersebut kepada syarikat swasta.

Tegasnya, Johari sepatutnya menjadikan insiden Kampung Sungai Baru sebagai teladan.
Katanya, penduduk di lot itu sepatutnya menerima pampasan atau alternatif kediaman seperti PPR sebelum mengarahkan mereka mengosongkan kediaman masing-masing.
“Kesimpulan saya, kita dengan ikhlas mahu bagaimana mahu berdepan dengan 23 September ini? Tolong faham hak kehidupan B40 di sini.
“Kita mahu Datuk Seri Johari guna kuasanya membatalkan penyewaan supaya penduduk di sini kekal di sini. Kita akan pertahankan hak penduduk di sini untuk kekal di sini. Ke mana hala penduduk di sini nak pergi? Kampung Sungai Baru pun diberi pampasan tapi mereka (di sini) satu sen pun tidak terima apa-apa,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau turut menghantar surat rayuan susulan pada 12 September yang lalu supaya dapat bersemuka dan berbincang dengan Johari pada 18 September ini.
Namun sehingga kini tiada respon diberikan, dakwanya. –MalaysiaGazette
















