KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memperuntukkan kira-kira RM37 juta untuk kerja-kerja penambahbaikan tandas awam di 56 buah lokasi Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Hentian Sebelah, Restoran Jejantas dan Plaza Tol sepanjang lebuh raya kendaliannya untuk tempoh 2023 hingga kini.

Menurut,Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar, penambahbaikan 32 kemudahan tandas awal melibatkan 16 lokasi telah dijalankan pada 2023 hingga tahun lalu.

“Pada tahun ini, kerja-kerja penambahbaikan kemudahan tandas dijangka akan dijalankan di lapan lagi lokasi,” katanya menerusi kenyataan.

Jelasnya, ia dilaksanakan di  bawah Pelan Induk 5 tahun Pembangunan dan Penambahbaikan Fasiliti bagi R&R dan hentian sebelah, beberapa lokasi R&R dan hentian sebelah di Lebuhraya kendalian PLUS, demi memastikan keselesaan di samping meningkatkan tahap perkhidmatan yang lebih efisien kepada pengguna lebuh raya.

“Dalam pelan ini, sebanyak lima R&R dan 11 Hentian Sebelah sedang dan akan dinaiktaraf secara berperingkat sehingga 2028.

“Dalam masa sama, PLUS akan menaik taraf beberapa lokasi R&R dan hentian sebelah terpilih secara berperingkat dengan menyediakan kemudahan yang lebih selesa pada masa akan datang antaranya di Hentian Sebelah Pedas Linggi (Arah Utara), Hentian Sebelah Bukit Gantang (Arah Selatan), Hentian Sebelah Tangkak (Arah Utara) dan R&R Machap (Arah Selatan),” tambah beliau.

Beliau berkata, Kemudahan tandas di beberapa lokasi terpilih juga telah ditambah baik dengan menambah bilangan tandas duduk.

“Ia turut dilengkapi dengan kubikel khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU), kubikel untuk keluarga dan kanak-kanak, bilik menukar lampin bayi serta kemudahan tempat mandi,”katanya.

Katanya lagi, beberapa kerja penambahbaikan tandas sedang giat dijalankan sejak 2024 di lokasi-lokasi sepanjang lebuh raya antaranya di R&R Gurun (Arah Utara), R&R Gunung Semanggol (Kedua-dua Arah), R&R Dengkil (Arah Selatan), Restoran Jejantas Ayer Keroh (Kedua-dua Arah), Hentian Sebelah Simpang Pulai (Arah Selatan), R&R Sungai Perak (Kedua-dua Arah), R&R Seremban (Arah Utara) dan R&R Ayer Keroh (Arah Utara), Hentian Sebelah Sungai Bakap (Kedua-dua Arah), Hentian Sebelah Rawang (Arah Selatan), Hentian Sebelah Gua Tempurung (Arah Selatan) dan Hentian Sebelah Kulai (Arah Utara).

Ujar beliau, sebahagian besar daripada tandas di lokasi-lokasi tersebut telah siap ditambah baik dan sedia untuk digunakan.

Manakala, kerja penambahbaikan tandas tahun ini yang dijangka siap pada 2026 adalah di R&R Mambau (Kedua-dua Arah), R&R Pagoh (Arah Utara), Hentian Sebelah Yong Peng (Arah Utara), Hentian Sebelah Kulai (Arah Selatan), Plaza Tol Kulai, Plaza Tol Sedenak dan Plaza Tol Simpang Renggam.

“Usaha ini merupakan inisiatif berterusan PLUS dalam menyediakan kemudahan yang lebih baik serta meningkatkan keselesaan kepada pengguna lebuh raya yang singgah untuk berhenti rehat dan menggunakan fasiliti sepanjang Lebuhraya PLUS.,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast