KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen memastikan pembangunan dilaksanakan membawa manfaat kepada rakyat tanpa mengorbankan maruah, hak dan sejarah yang merupakan kepentingan nasional.

Menyambut baik titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Anwar yang juga Pengerusi Majlis Perumahan Mampu Milik Negara berkata, kerajaan berpegang teguh setiap keputusan mesti berpaksi pada aspek kesejahteraan rakyat serta kelangsungan identiti masyarakat.

“Alhamdulillah, saya menyambut baik kenyataan DYMM Sultan Selangor berhubung latar sejarah, masa depan dan hala tuju kawasan Kampong Bharu.

“Pandangan ini selari dengan pendirian Kerajaan MADANI yang teguh menekankan keperluan menghargai warisan sejarah serta merangka pembangunan yang adil dan seimbang,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di Facebook.

Kenyataannya itu susulan titah Sultan Selangor hari ini yang isu pembangunan semula tanah di Kampung Baru, Kuala Lumpur perlu dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan memberikan keutamaan kepada kepentingan orang Melayu.

Baginda tiada halangan sekiranya kawasan Kampung Baru hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.

Baginda mahu setiap butir pertimbangan dilakukan semua pihak berkaitan mengenai hal ini, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampung Baru harus diambil kira.

Dalam pada itu, sebagai respon Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan memastikan kepentingan orang Melayu di Kampung Baru kekal terjamin dan tidak akan diketepikan.

Dr Zaliha turut memberi jaminan setiap pembangunan akan dilaksanakan dengan penuh hemah dan berlandaskan lunas undang-undang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast