Logo Suruhanjaya Tenaga

KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 kes pendakwaan berkaitan kesalahan elektrik dan gas berpaip telah didaftarkan di mahkamah setakat tahun ini, dengan jumlah denda terkumpul mencecah RM200,140.

Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kenyataan hari ini berkata, pendakwaan itu dilaksanakan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447] dan Akta Bekalan Gas 1993 [Akta 501] sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh penguatkuasaan undang-undang dalam sektor tenaga negara.

Kes terbaharu melibatkan tiga syarikat yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Wilayah Persekutuan Labuan dan Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 26 dan 27 Ogos lalu atas kesalahan mencuri elektrik di bawah subseksyen 37(3)(e) Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Mahkamah Sesyen Labuan pada 26 Ogos telah menjatuhkan hukuman denda RM50,000 ke atas LB Gases Hardware Sdn. Bhd. dengan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

“Manakala pada 27 Ogos, Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu menjatuhkan denda RM55,000 ke atas Sri Mas Foods Industries Sdn. Bhd. serta RM50,000 ke atas Kim Kian Enterprise, dengan waran levi dikeluarkan jika gagal membayar,” jelas suruhanjaya berkenaan.

Menurut kenyataan itu, ketiga-tiga syarikat berkenaan telah melunaskan denda masing-masing.

ST memaklumkan, kes-kes lain sebelum ini melibatkan pelbagai kesalahan antaranya menjalankan pengubahsuaian pepasangan tanpa kebenaran sehingga mengakibatkan kematian, menyimpan kelengkapan elektrik tidak berlabel dengan niat untuk menjual serta menjalankan aktiviti penggunaan gas tanpa lesen.

“Turut direkodkan ialah kes melanggar syarat lesen kerana gagal membayar fi dan memberikan maklumat palsu bagi tujuan pendaftaran orang kompeten,” katanya.

Sebagai badan kawal selia sektor tenaga, ST menegaskan pihaknya sentiasa menguatkuasakan peruntukan undang-undang berkaitan pembekalan tenaga.

“Hebahan kes-kes pendakwaan ini adalah penting sebagai pengajaran kepada semua pihak untuk tidak melakukan sebarang kesalahan yang melibatkan elektrik dan gas berpaip, termasuk kecurian elektrik,” menurut ST sambil menyeru orang ramai menyalurkan maklumat melalui sistem eAduan di laman sesawang rasmi www.st.gov.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast