Menteri Perladangan dan Komoditi memangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tengah) bercakap kepada wartawan ketika sidang media selepas majlis perasmian Hari Tanah Negara 2025 di Putrajaya. Foto Hari Anggara, 22 SEPTEMBER 2025.

PUTRAJAYA – Syarikat pemaju yang bertanggungjawab terhadap projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru tidak patut menjadikan proses mahkamah yang masih berlangsung sebagai alasan melewatkan pembinaan dua blok kediaman yang dijanjikan kepada penduduk.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan,  penduduk-penduduk awal yang sudah dipindahkan sementara sedang menantikan kediaman baharu mereka.

“Pemaju hanya perlu ganti blok yang lama. Kalau kemudian dia nak buat yang lain tu, semua tidak ada orang boleh kawal. Yang paling pentingnya ialah sekarang ni, saya menyokong supaya pemaju ni cepatkan siap dua unit dulu. 

“Kerana penduduk-penduduk yang dah pindah ni, mereka tunggu lebih lapan tahun. Mereka orang nak balik tempat (kediaman mereka). Jadi pemaju ni jangan mengambil peluang tangguhkan benda ni (pembangunan) dengan menggunakan alasan ada kes mahkamah,” katanya ketika ditemui ketika Sambutan Hari Tanah Negara 2025.

Jelas beliau, adalah tidak logik untuk penduduk pangsapuri sebelum ini tinggal dalam keadaan daif.

Katanya lagi, pemaju juga tidak patut menjadikan isu pengambilaliha tanah lot sebagai alasan penangguhan pembinaan kediaman pangsapuri di kawasan itu.

“Kini sudah lapan tahun pemaju guna isu rumah teres. Siapa yang buat idea mengambil Akta Pengambilan Tanah? Awak sebagai pemaju, awak kena bertanggungjawab.

 “Jangan sebab pemaju ada masalah dengan rumah teres, akhirnya rumah flat ni jadi mangsa,” ujarnya lagi.

Johari sebelum ini mendakwa, kegagalan menyambung semula projek selepas tempoh menunggu terlalu lama menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk di Kampung Sungai Baru.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya pemaju berbincang dengan UDA Holdings Bhd sekiranya tidak mampu meneruskan projek.

Sebelum ini dilaporkan, baki 14 penduduk enggan berpindah kerana mendakwa tidak berpuas hati dengan tawaran pampasan, bentuk penempatan semula serta mendakwa proses pengambilan tanah kurang telus.

Kemudian, perintah pengusiran baru-baru ini merupakan cara kedua pemaju sejak Julai lalu untuk mengeluarkan baki penduduk Kampung Sungai Baru.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast