Aznan diberikan penerangan semasa melawat Republic Polytechnic di Singapura hari ini.

JOHOR BAHRU – Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bekerjasama dengan Republic Polytechnic (RC), Singapura bertujuan meningkatkan amalan terbaik dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, hasrat tersebut direalisasikan dalam lawatannya ke Republic Polytechnic hari ini selain membincangkan potensi kerjasama strategik dalam memperkukuh agenda pembangunan bakat Johor.

“Antara fokus utama perbincangan termasuklah kemudahan fasiliti institusi, penyelarasan kurikulum mengikut kehendak industri semasa, peluang pertukaran teknologi, penyelidikan dan inovasi serta program mobiliti pelajar bagi memperluas pengalaman pembelajaran rentas sempadan.

“Inisiatif ini diyakini mampu memberikan nilai tambah kepada sistem TVET Johor agar lebih kompetitif dan relevan dengan perubahan global,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Aznan, kerjasama antara Republic Polytechnic dan JTDC akan memberi manfaat besar kepada pembangunan modal insan negeri khususnya dalam sektor berimpak tinggi seperti ekonomi digital, pembuatan termaju, penjagaan kesihatan serta teknologi hijau.

Usaha itu juga seiring dengan aspirasi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang membuka lebih banyak peluang kerjaya dan pelaburan untuk anak muda Johor.

“Insya-Allah, saya yakin lawatan kerja ini menjadi penanda aras kepada permulaan kerjasama bermakna antara Republic Polytechnic dan JTDC.

“Ini demi memperkasakan anak muda Johor, memperkukuh komuniti kita serta membentuk masa depan yang lebih mampan, progresif dan inklusif,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast