Mohd Jafni diberi penerangan selepas merasmikan Johor Smart City Forum (JSCF) 2025 di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Johor memperkenalkan sistem pemantauan berteknologi tinggi bagi menangani isu banjir dan pencemaran udara di bawah seliaan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Mohd Jafni Md Shukor berkata, usaha itu melibatkan pemasangan Smart CCTV yang dilengkapi parameter untuk mengukur paras air di sungai serta parit monsun, khususnya di kawasan bandar raya ini.

“Kamera ini membolehkan paras ketinggian air dipantau secara langsung ketika hujan lebat. Sekiranya paras meningkat ke tahap berisiko, data tersebut boleh dianalisis segera bagi membolehkan tindakan pencegahan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Johor Smart City Forum (JSCF) 2025 di Persada Johor International Convention Centre, di sini hari ini.

Katanya, selain Smart CCTV, Johor memperkenalkan inovasi Smart Pole atau tiang pintar yang berfungsi serba guna sekali gus memperkukuh agenda bandar pintar di negeri ini.

Tiang tersebut ujarnya, bukan sahaja menempatkan kamera pemantauan, malah dilengkapi pembesar suara dan sistem amaran automatik.

“Jika hujan melebihi 60 milimeter dan terdapat potensi banjir, sistem ini akan mengaktifkan bunyi amaran bagi memberi peringatan kepada penduduk sekitar supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir,” katanya.

Menurut Mohd Jafni, teknologi itu juga disokong dengan pemasangan Smart Indicator bagi mengukur tahap pencemaran udara di kawasan tumpuan.

Peranti berkenaan dipasang pada Smart Pole untuk memantau kualiti udara secara berterusan, sekali gus membolehkan pihak berkuasa mengambil langkah awal sekiranya berlaku pencemaran yang boleh menjejaskan kesihatan awam, katanya.

Untuk rekod johor Bahru terus dikenal pasti sebagai antara kawasan paling berisiko dilanda banjir kilat di negeri ini berikutan kedudukannya yang rendah serta pesat dengan pembangunan bandar.

lokasi tumpuan banjir adalah di kawasan sekitar pusat bandar. Situasi biasanya bertambah buruk apabila hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar yang menyekat aliran keluar air hujan ke laut.

Selain faktor geografi, sistem perparitan lama dan sempit serta longkang yang tersumbat akibat sampah sarap turut menyumbang kepada masalah tersebut.

Keadaan ini menyebabkan paras air mudah melimpah sehingga menjejaskan kediaman, perniagaan dan laluan utama.

Forum JSCF 2025 yang berlangsung dari 22 hingga 24 September menghimpunkan pakar teknologi, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta pemain industri bagi berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang bandar pintar.

Antara fokus utama forum ialah adaptasi teknologi pintar, pengurusan risiko bencana, keselamatan bandar dan pemantauan alam sekitar.

Dengan pelaksanaan inisiatif itu, Johor diyakini mampu menjadi perintis bandar pintar yang mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat, selari dengan aspirasi negeri menuju pembangunan mampan.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast