Muhammad Fakhrurazie didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas perdaya tuntutan kerja lebih masa semasa PRU-15.

JOHOR BAHRU – Seorang Penolong Pegawai Penilaian Bahagian Penilaian dan Pengurusan Harta di Majlis Daerah Labis, Segamat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 24 pertuduhan memperdayakan borang tuntutan kerja lebih masa semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sejak Oktober 2022.

Tertuduh, Muhammad Fakhrurazie Abd Razak, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Datuk Kamal Ariffin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh menggunakan dengan niat untuk memperdayakan Borang Tuntutan Kerja Lebih Masa bulan September hingga November bagi tugasan PRU ke-15 atas nama lapan individu.

Tertuduh mempunyai kepentingan untuk mempercayai dokumen tuntutan tersebut mengandungi butiran palsu iaitu tuntutan pembayaran Elaun Kerja Lebih Masa dengan jumlah keseluruhan RM17,548.80 sedangkan dia tahu butiran kerja lebih masa tersebut tidak disediakan oleh semua individu berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan dalam Daerah Segamat, bermula Oktober hingga Disember 2022.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Muhd Faizul Kamaro Zaman manakala tertuduh diwakili peguam T Vijaya Sandran.

Mahkamah menetapkan 30 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan jaminan RM10,000 dibernarkan kepada tertuduh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast