Lelaki China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan memperdaya JAS Johor.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warganegara China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan memperdaya Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor melibatkan empat kontena yang bukan dilakukan syarikat miliknya, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Chen Zhenlong, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang merupakan pengarah syarikat pelaburan telah bersubahat dengan Low Eng Heng @ Low Yong Heng untuk menipu dengan memperdayakan JAS Johor bahawa syarikatnya bukan pembeli empat kontena sebaliknya, syarikat lain pada 19 Januari 2022.

Berdasarkan tindakan tersebut, tertuduh dengan curangnya mendorong Pengarah JAS untuk tidak meneruskan tindakan terhadap syarikatnya mengikut Seksyen 31(1) dan Seksyen 37(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Kesalahan tersebut dilakukan di Pusat Danga Utama, Johor Bahru.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 417 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum mengikut seksyen sama.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Jeremy Chan.

Mahkamah menetapkan 29 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan jaminan RM20,000 dibenarkan kepada tertuduh.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast