Mohamad Fazli meninjau kelancaran NIISe yang menggunakan kod QR melalui aplikasi MyNIISe di BSI, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Pelaksanaan fasa awal percubaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) menggunakan kod QR melalui aplikasi MyNIISe di Johor semalam berjalan lancar meskipun berdepan beberapa cabaran.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, sebanyak 28 laluan kereta diperuntukkan khusus bagi percubaan berkenaan.

Beliau memberitahu, ini merangkumi 16 laluan di Kompleks Sultan Iskandar (BSI) di sini membabitkan lapan laluan masuk dan lapan keluar.

Jelasnya, sebanyak 12 laluan pula membabitkan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, Iskandar Puteri dengan enam masuk serta enam keluar.

Menurutnya, terdapat isu berbangkit pada peringkat awal antaranya jumlah pengguna yang masih rendah, selain ada yang kurang mahir menggunakan aplikasi.

“Bagi mengatasi perkara ini, edaran risalah, panduan bergambar dan video akan dipergiatkan.

“Kita juga telah memperkenalkan laluan khusus QR di Zon B1–B4 serta laluan hibrid di Zon B5–B8, selain menambah banner dan banting sebagai panduan kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, terdapat juga aduan daripada pengguna rangkaian SingTel berhubung masalah pendaftaran dan perkara itu sedang diteliti bersama-sama NIISe serta HeiTech Padu termasuk melalui lawatan kerja ke Singapura.

Menurutnya, langkah pemodenan itu diyakini dapat mengurangkan kesesakan di sempadan Johor dan Singapura serta memberi pengalaman perjalanan yang lebih selesa kepada pengguna.

“Walaupun berdepan cabaran awal, Johor tetap komited memastikan inisiatif ini berjaya. Kita mahu rakyat merasai manfaatnya dan saya menyeru orang ramai memuat turun aplikasi MyNIISe serta mencuba kemudahan ini,” katanya.

Pada 17 September lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan akan melaksanakan NIISe di pintu masuk negara secara percubaan yang akan dilakukan berperingkat-peringkat bermula 22 September ini hingga 28 Februari 2026.

KDN memaklumkan, percubaan itu akan dilaksanakan, terutama di KSAB dan BSI, Johor, diikuti di lima Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) utama negara, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast