Mohd Fared menyampaikan sumbangan kepada Marlina di rumahnya di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah bukan sahaja membesarkan tiga anaknya selepas suami masuk penjara tetapi sanggup menanggung dua anak kenalannya selepas ibu mereka menghilangkan diri.

Marlina M Sai, 38, yang berasal dari Indonesia berkata, bagi meneruskan hidup, dia mendapatkan ihsan kenalan dan jiran-jirannya kerana tiada pilihan selepas suaminya menjalani hukuman penjara.

Dia mendakwa tidak mampu untuk mencari pekerjaan kerana statusnya bukan warganegara hingga berdepan pelbagai kesulitan dalam meneruskan hidup.

Katanya, daripada tiga cahaya matanya, hanya dua berstatus warga negara selain hanya seorang daripadanya bersekolah.

“Anak sulung saya, Noor Muhd Iskandar dan anak kedua lelaki, Noor Muhd Ilyasa merupakan kembar tahun iaitu kedua-duanya berusia 13 tahun manakala anak bongsu, Noor Kasih Ariana berusia 10 tahun.

“Suami yang dulu bekerja gaji harian menyatakan akan berurusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat permohonan baharu bagi anak sulung manakala bagi mendapatkan MyKid bagi Noor Kasih Ariana namun dia kini dipenjara.

“Ini menjadikan masa depan anak-anak menjadi tanda tanya. Suami dijatuhi hukuman penjara selama tiga setengah tahun dan kini hukuman sudah berjalan setahun.

“Begitu juga bagi anak kenalan, Raisya Atikah berusia lima tahun dan adik lelakinya, Amirul berusia setahun enam bulan, mereka juga di bawah jagaan saya sejak enam bulan lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Terdahulu Marlina menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fared Mohd Khalid yang menghulurkan sumbangan.

Bercerita lanjut, Marlina berkata, bapa kepada anak-anak kenalan yang dijaga itu meminta bantuannya  kerana isterinya menghilangkan diri dan tidak lama selepas itu dia juga ditahan serta kini juga berada di penjara.

Marlina berkata, kedua-dua kanak-kanak itu merupakan warganegara Malaysia.

“Bayangkan saya perlu membeli susu, makanan dan keperluan anak tanpa sebarang pendapatan. Saya buntu memikirkan nasib anak mahu pun dua kanak-kanak itu.

“Sudah lama mereka tidak makan sedap dan hanya memakan apa yang ada. Setakat ini hanya anak kedua saya bersekolah dan saya semakin bimbang memikirkan masa depan anak lain termasuk anak kenalan,” katanya.

Justeru orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan kepada keluarga Marlina boleh menghubunginya 017-7674028.

Sementara itu, Mohd Fared berkata, keluarga berkenaan akan diberikan saraan bulanan, bantuan segera selain bantuan bagi membaik pulih rumah.

“Persekolahan anak-anaknya juga akan dibantu supaya mereka tidak ketinggalan. Pada hari ini, kami juga menyediakan makanan tengahari bagi keluarga Marina,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast