PONTIAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal tangki asing kerana bersauh tanpa kebenaran kira-kira 4 batu nautika barat Tanjung Piai di sini hari ini.
Pemangku Pengarah Maritim Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, maklumat mengenai kapal tangki itu yang bersauh di perairan negara ini diterima Pusat Operasi Maritim Negeri Johor pukul 5.30 pagi.
Susulan itu katanya, Bot Perkasa 42 digerakkan ke lokasi kejadian yang ketika itu sedang melakukan rondaan Op Jaksa/Op Todak 2/2021/Op Tiris 3.0.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 23 kru di atas vesel tanker (kapal tangki) tersebut yang terdiri daripada 19 warganegara India, dua warga Tanzania, seorang warga Myanmar dan seorang warga Mesir.
“Mereka berusia lingkungan 23 hingga 51 tahun. Semua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Bagaimanapun katanya, nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
Katanya, kapal tangki tersebut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
“Chief Officer, Chief Engineer serta beberapa dokumen berkaitan vesel tanker itu turut ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sungai Pulai sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Negeri Johor untuk tindakan lanjut,” katanya.
Maritim katanya, penguatkuasaan di perairan Johor akan terus dipertingkat dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelanggaran undang-undang yang boleh mengancam keselamatan perairan negara.
Tambahnya, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung sebarang jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut boleh menyalurkannya ke talian kecemasan MERS 999 atau menghubungi pusat operasi tersebut 07-2199401. .- MalaysiaGazette
















