Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan pecah amanah berkaitan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II) membabitkan wang berjumlah RM145.5 juta di Mahkamah Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 24 SEPTEMBER 2025. (GAMBAR FAIL).

SHAH ALAM – Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap pertuduhan pecah amanah dan menyalahgunakan wang berkaitan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II) berjumlah RM145.5 juta.

Berdasarkan pertuduhan, Abu Sahid di antara 12 Januari dan 13 Jun 2018, sebagai individu diamanahkan penguasaan ke atas harta iaitu wang milik Maju Holdings Sdn. Bhd. secara tidak jujur melakukan perbuatan tersebut terhadap sejumlah wang itersebut yang dibayar ke dalam akaun escrow Maybank Islamic Berhad.

Sehubungan itu, beliau dituduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bahawa seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Akram Gharib kemudian membuat permohonan supaya pertuduhan tersebut dipindahkan dan dibicarakan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Katanya, ia susulan daripada pertuduhan pecah amanah dan pengubahan terhadap Abu Sahid di Mahkamah Kuala Lumpur sebelum ini.

Sementara itu, pasukan pendakwaan memohon supaya mahkamah menggunakan jaminan yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 September lalu.

Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin kemudian membenarkan permohonan berkenaan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen yang sama, bekas Pengarah Mex II Sdn. Bhd., Datuk Yap Wee Leong berdepan 18 pertuduhan melibatkan tuntutan palsu dan pengubahan wang haram.

Sembilan pertuduhan adalah berkaitan dokumen tuntutan yang mengandungi butiran dan pernyataan palsu di antara 9 November 2017 hingga  26 Jun 2018 milik Golden Base Construction Sdn. Bhd mengenai kerja-kerja pembersihan tapak, kerja-kerja sementara, kerja-jerja tanah, kerja-kerja geoteknikal, kerja-kerja perparitan dan kaki lima (Subgrade) yang tidak pernah dilakukan berjumlah lebih RM220 juta.

Selain itu, Wee Leong juga dituduh mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Berdasarkan pertuduhan, beliau antara 21 Jun 2017 hingga 3 Ogos dituduh memindahkan hasil wang haram milik Golden Base Construction Sdn. Bhd. berkenaan akaun milik Villa Hubs Sdn. Bhd sebanyak lebih RM380 juta.

Pertuduhan Yap pada hari ini turut dipindah dan dibicarakan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan menggunakan jaminan yang digunakan baru-baru ini.

Sebutan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ditetapkan pada 3 November. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast