KULAI – Kebakaran sebuah kilang di kawasan industri di Senai, di sini, pada 14 September lalu membongkar satu sindiket memproses dan mengedar dadah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
Pengarah Jabatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Hussein Omar Khan berkata, kebakaran kilang pada pukul 4.35 petang itu pada mulanya disedari oleh orang awam sebelum membuat panggilan kecemasan menerusi M99 untuk bantuan bomba dan polis.
Jelasnya, pihak bomba sampai untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran sebelum anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman tiba untuk melakukan siasatan.
“Kita tidak tahu sama ada kilang ini dibakar atau terbakar kerana masih dalam siasatan. Pihak polis melakukan pemeriksaan lanjut pukul 5 petang dan mendapati kilang tersebut dijadikan sebagai makmal memproses dadah.
“Hasil pemeriksaan bersama-sama JSJN Bukit Aman menjumpai satu dulang besi bersama-sama 14 bekas plastik berisi serbuk disyaki dadah jenis erimin 5 dengan anggaran berat 75 kilogram (kg).
“Satu kotak bersama-sama tiga bekas plastik berisi pil disyaki dadah jenis erimin 5 (24.69kg) selain tiga dulang besi, 16 plastik bersama-sama serbuk prekursor (79.016kg), 11 tong berisi cecair prekursor (1,827kg) dan pelbagai peralatan memproses dadah,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Kulai, di sini, hari ini.
Katanya, seterusnya pemeriksaan dilakukan di sebuah rumah sekitar Seri Alam, Johor Bahru dan menangkap seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun.
Menurutnya, tindakan susulan diambil dengan melakukan serbuan ke atas sebuah kilang di kawasan Desa Idaman, Senai ada 21 September lalu dan berjaya merampas pelbagai jenis dadah.
Beliau memberitahu, ini melibatkan 10 botol berisi cecair disyaki dadah jenis methamphetamine (250kg), satu plastik lutsinar serbuk disyaki dadah jenis ketamin (20kg), dua guni bersama-sama 24 botol plastik berisi serbuk prekursor (74kg), 89 botol plastik berisi cecair prekursor (1,685) dan pelbagai peralatan memproses dadah.
Hussein memaklumkan, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas 4,034.71kg dengan nilai pasaran dianggarkan RM17.77 juta dan boleh digunakan 1.8 juta penagih.
Pihaknya turut menyita tiga buah kereta jenis Perodua Myvi, Honda Civic dan Mercedes-Benz dengan sebuah lori jenis Bison yang semuanya berjumlah RM161,000 manakala jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan RM17.93 juta.
Beliau percaya sindiket tersebut sudah aktif sejak awal Februari lalu dan modus operandi sindiket adalah menjadikan kilang sebagai makmal memproses dadah jenis erimin 5 sehingga 1000,000 biji sehari selain turut mengedarkannya untuk pasaran tempatan dan negara jiran.
Pihak polis katanya, sedang mengesan tiga lelaki tempatan termasuk adik beradik berusia 24 dan 25 tahun berasal dari negeri ini yang dipercayai dalang sindiket tersebut.
Sementara suspek yang ditahan itu katanya, berperanan sebagai transporter untuk menerima dan menghantar bungkusan dalam bentuk bongkah kotak kayu kilang.
“Suspek direman sehingga tujuh hari bermula 18 hingga 24 September ini. Pemeriksaan rekod kesalahan lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod kes dadah bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Siasatan katanya, mendapati kilang tersebut disewa sejak dua tahun lalu dan didaftarkan atas lesen kilang untuk menghasilkan produk teknologi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan. – MalaysiaGazette
















