Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abd. Samad selepas diperintah bela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd. ketika di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 18 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Bung Moktar Radin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bahawa soalan pihak pendakwaan terhadap beliau adalah anggapan dan tuduhan yang tidak berfakta.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu merujuk kepada soalan-soalan pihak pendakwaan sebelum ini yang berkisar mengenai habuan pelaburan Felcra Berhad dalam Public Mutual dan pengetahuan beliau mengenai mengenai wang pengenalan yang diterima daripada dua ejen berhubung pelaburan berkenaan.

“Saya tidak maklum mengenai urusan isteri saya (Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad) dengan ejen Public Mutual dan saya tidak terlibat langsung mengenai perbincangan komisyen.

“Itu perbincangan mereka di luar pengetahuan saya. Saya ingin menjelaskan semua tanggapan soalan Timbalan Pendakwa Raya (sebelum ini) memang tidak benar saya tidak pernah secara langsung atau tidak langsung jumpa ejen dengan Public Mutual untuk bincang soal pemberian atau bayaran. Soalan TPR sebelum ini adalah anggapan dan tidak berfakta.

“Saya nyatakan beberapa hari ini jelas menunjukkan tidak ada unsur perbincangan apatah lagi terima habuan daripada Bekas Pengurus Besar Kumpulan Kewangan (CFO) Felcra Mohd Azmy Abu Samah dan Norhaili Ahmad Mokhtar ( Perunding Unit Amanah) sebab saya tidak tahu ursan mereka dengan isteri saya. Saya berpendirian ia tuduhan tidak berfakta,” katanya ketika sesi soal balas oleh peguam belanya, M Athimulan .

Ditanya mengenai mengapa beliau tidak memaklumkan kelulusan pelaburan RM150 juta wang Felcra untuk menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad kepada Ahli Lembaga Pengarah, Bung Moktar berkata, beliau berpendirian ia merupakan tanggungjawab Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

“Saya dengan suci hati merasakan ini merupakan ini tanggungjawab CEO untuk memaklumkan Lembaga Pengarah, walaubagaimanapun bukan semua perkara mesti dimaklumkan Lembaga Pengarah, saya yakin pihak CEO melaksanakan tanggungjawab untuk kepentingan syarikat,” ujarnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kinabatangan itu pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau dituduh menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.

Selain itu, beliau didakwa menerima suapan RM337,500 daripada Norhaili melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.

Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda sama, jika sabit kesalahan.

Kemudian Mahkamah Rayuan pada 18 November tahun lalu memerintahkan Bung dan isterinya membela diri.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad disambung pada 27 November.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast