Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (tengah) menyampaikan cenderahati kepada guru besar pada Majlis Perasmian Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya, Presint 9 (2). Foto MUHAIMIN MARWAN, 29 SEPTEMBER 2025

PUTRAJAYA – Dua perkara utama menjadi fokus Kementerian Pendidikan adalah memastikan keselamatan sekolah berada pada tahap tertinggi dan membudayakan amalan membaca dalam kalangan rakyat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, agenda keselamatan tidak boleh dipandang ringan susulan tragedi yang menimpa seorang murid di Lenggeng, Negeri Sembilan baru-baru ini.

“Alhamdulillah, audit keselamatan sekolah sedang berlangsung. Setakat ini kita sudah pun audit 700 daripada 10,000 sekolah di seluruh negara. Perjalanan masih jauh, tetapi perkembangan amat baik dan dapatan awal akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis Pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2), di sini, hari ini, 

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek beramah mesra bersama pelajar pada sesi membaca selama 10 minit selepas selesai pada Majlis Perasmian Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya, Presint 9 (2). Foto MUHAIMIN MARWAN, 29 SEPTEMBER 2025

Menurut Fadhlina, peruntukan besar bagi penyelenggaraan sekolah disediakan setiap tahun, namun kali ini tumpuan diberikan sepenuhnya kepada aspek keselamatan.

“Kita tidak mahu tragedi yang meragut nyawa murid berulang. Keselamatan sekolah akan menjadi keutamaan dalam input Belanjawan 2026,” ujarnya.

Sementara itu, Fadhlina berkata Dekad Membaca Kebangsaan bukan kempen rutin, sebaliknya ia merupakan usaha besar-besaran membina ekosistem ilmu di sekolah dan komuniti.

“Kita mahu bacaan bukan jadi hobi semata-mata, tetapi ritual amalan dan gaya hidup. Hari ini kita bawakan kelainan, memperkenalkan buku yang diulas tokoh sasterawan supaya anak-anak terbiasa dengan konsep telaah, bukan hanya membaca sepintas lalu,” katanya.

Beliau menambah, pertandingan berkaitan membaca di peringkat sekolah akan diperluas bagi memupuk disiplin intelektual yang lebih mantap dalam kalangan pelajar.

Dalam pada itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memaklumkan Dekad Membaca Kebangsaan menyasarkan peningkatan bahan bacaan rakyat Malaysia daripada purata 15 kepada 50 judul setahun menjelang 2030.

Inisiatif nasional yang bermula sejak 2021 ini digerakkan dengan kerjasama kementerian, agensi, sektor swasta, NGO dan komuniti, dengan aspirasi #MalaysiaMembaca.

“Matlamat akhirnya ialah meletakkan Malaysia dalam kelompok 20 negara pembaca teratas dunia,” menurut DBP. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast