Gary didakwa mengaku di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru hari ini atas tiga pertuduhan menghalang tugas anggota polis dan memiliki senjata berbahaya.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan termasuk menghalang tugas anggota polis dan memiliki senjata berbahaya, Ahad lalu.

Tertuduh, Gary Lim Kian Liang, 46, membuat pengakuan tersebut bagi pertuduhan memiliki senjata berbahaya selepas selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar.

Tertuduh didakwa memiliki sebilah pisau berukuran 8.5 sentimeter tanpa kebenaran yang sah di Jalan Lingkaran Dalam menghala Bangunan Sultan Iskandar di sini pukul 12.15 pagi, pada Ahad lalu.

Lelaki itu didakwa Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di kamar berasingan, tertuduh turut tidak mengaku bersalah di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman atas pertuduhan menghalang tugas penjawat awam dan mendatangkan kecederaan.

Lelaki itu didakwa dengan sengaja menghalang seorang anggota polis bernama Lans Koperal Mohd Rahimi Mohd Ali dalam melaksanakan tugasnya pada waktu, lokasi dan tarikh yang sama.

Dia dakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang wanita tempatan berusia 30 tahun menggunakan pisau di lokasi sama, pukul 11.58 malam pada 15 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Mamu dan Izdhiyah Zahirah Ahmad Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam S Selvanteran dan K Shareveen.

Terdahulu, dalam rayuan ikat jamin, Selvanteran memaklumkan anak guamnya itu mempunyai masalah kesihatan mental dan memerlukan rawatan berterusan.

Selain itu, anak guamnya itu yang merupakan pemilik sebuah restoran di Singapura dan telah berkahwin namun tidak mempunyai anak dan masih menyara ibunya yang sudah uzur.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM20,000 dengan tiga penjamin rakyat tempatan dan menetapkan 25 September depan bagi sebutan semula kes.

Sementara itu, tertuduh rakyat tempatan, G. Thinesh Kumar, 28, mengaku tidak bersalah di hadapan Majisteret A Shaarmini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas warga Singapura berkenaan menggunakan topi keledar.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa mengikut Seksyen 324 kanun sama dan dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Mahkamah menetapkan 14 September ini bagi sebutan semula kes berkenaan.

Terdahulu, portal ini melaporkan polis menahan empat lelaki termasuk seorang warga Singapura berusia antara 25 hingga 46 tahun antara pukul 12.15 tengah malam hingga 1.45 pagi Ahad lalu susulan kejadian berkenaan.

Hasil siasatan mendapati punca pergaduhan disebabkan perselisihan faham di jalan raya membabitkan tiga lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing dengan menggunakan senjata.

Video kejadian yang memaparkan pergaduhan seorang lelaki menghalang tugas penjawat awam itu turut tular dalam media sosial.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here