Datuk Wan Saiful Wan Jan.

KUALA LUMPUR – Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didakwa telah mengugut beberapa Ketua Bahagian parti supaya menarik balik Akuan Bersumpah (SD) yang didakwa untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) itu berkata, ugutan tersebut dibuat terhadap Ketua Bahagian Bersatu Sepang, Datuk Suhaimi Ghazali dan Ketua Bahagian Bersatu Puchong, Shukor Mustafa ketika dipanggil bertemu Azmin pada 19 Ogos lalu.

Jelas Wan Saiful, pertemuan berlaku di ibu pejabat Bersatu di mana ia turut dihadiri beberapa Ketua-Ketua Bahagian yang lain.

“Mereka juga ada di sini (dalam sidang media), boleh mengesahkan bahawa dalam perjumpaan itu mereka diugut oleh Azmin bahawa mereka tidak akan dapat watikah calon untuk bertanding dalam pilihan raya sekiranya mereka tidak menarik balik SD yang nak menjatuhkan Presiden.

“Sudah pasti Suhaimi dan Shukor tidak setuju untuk tarik balik sebab dokumen itu bukan untuk jatuhkan Presiden. Mereka tak pernah tanda tangan apa-apa dokumen untuk menjatuhkan Presiden, jadi macam mana nak tarik balik?” soalnya pada sidang media, hari ini.

Tegas Wan Saiful, SD yang ditandatangani adalah berbeza dan tumpuannya ialah tidak mahu usul yang membawa mudarat kepada parti dibawa ke Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu.

“Azmin berkeras dengan ugutan bahawa mereka berdua tidak akan jadi calon kalau tak tarik balik. Malahan saya dimaklumkan bahawa Azmin juga ada berkata bahawa saya sendiri pun tidak akan jadi calon,” katanya.

Katanya, tindakan Mohamed Azmin itu memberi gambaran  bahawa kuasa Presiden untuk memutuskan calon pilihan raya adalah terletak di tangannya, bukan Presiden.

“Kalau ditelusuri kronologi apa yang berlaku, kami berpandangan bahawa Azmin Ali lah pemimpin atasan yang pertama yang menggunakan naratif songsang ini untuk membuat tuduhan dan ugutan kepada Suhaimi dan Shukor,” katanya.

Wan Saiful mendakwa, Azmin turut membuat ugutan sama terhadap Tan Sri Rahim Thamby Chik dengan mengarahkan tindakan disiplin dikenakan terhadap Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri (BPN), Azrudin Idris.

“Saya tidak tahu apa yang Azmin marah sangat kepada Azrudin, tetapi Azmin ugut Tan Sri Rahim bahawa jika tidak buat aduan disiplin, dia akan pastikan tidak ada sebarang bantuan disalurkan kepada Melaka dalam menghadapi pilihanraya negeri nanti.

“Hebat Azmin ini. Satu parti dia pegang dan siapa tidak sokong dia tidak dapat peruntukan. Saya ingat Anwar Ibrahim sahaja yang macam ni, rupanya Azmin pun sama. Anak murid belajar dari Cikgu,” katanya.

Justeru itu, Wan Saiful berkata, beliau akan menghantar satu laporan displin mengenai salah laku yang dilakukan Azmin.

Turut diheret Wan Saiful adalah Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

“Saya mendoakan agar Lembaga Disiplin parti boleh jadi efisyen sepertimana kes saya. Laporan Tun Faisal sampai ke Lembaga Disiplin 18 September dan 21 September terus isu surat panggil saya untuk datang ke lembaga pada 25 September.

“Kalau sempat hari ini, atau esok pagi saya serahkan laporan dan harap Lembaga Displin akan pertimbangkan,” katanya dalam sidang media sama.

Pada 25 September, perjumpaan Wan Saiful bersama Jawatankuasa Lembaga Disiplin parti berhubung dakwaan pengumpulan SD untuk menjatuhkan Muhyiddin ditangguhkan.

Wan Saiful berkata, beliau menerima mesej penangguhan itu sebaik sahaja menghampiri ibu pejabat parti berkenaan di bangunan Yayasan Selangor.

Selain Wan Saiful, tiga pemimpin Bersatu lain yang dipanggil ialah Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali dan Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail.

Mereka didakwa terlibat dalam pengumpulan SD dalam kalangan ketua bahagian Bersatu di seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast