MOT
Kementerian Pengangkutan menangguhkan sementara permit VEP

KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya mempertahankan kerusi sebagai Ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di bawah Kategori III bagi penggal 2025 hingga 2028.

Kementerian Pengangkutan berkata, Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Majlis ICAO selama tujuh penggal berturut-turut sejak tahun 2007 yang mana merupakan pencapaian terbaik negara daripada segi negara yang memberi sokongan.

Jelasnya, kejayaan tersebut membuktikan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap komitmen Malaysia dalam memajukan keselamatan, inovasi dan kemampanan sektor penerbangan awam global.

Kejayaan ini diumumkan selepas proses pengundian yang berlangsung pada 30 September 2025 semasa Perhimpunan Agung ICAO ke-42 di Montreal, Kanada,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, sebanyak 15 negara telah bersaing merebut 13 kerusi di bawah Kategori III.

Ujar kementerian itu, hasil pengundian Malaysia bersama 13 negara lain telah berjaya memenangi kerusi ahli majlis di bawah Kategori tersebut dengan undian sebanyak 154 undi, iaitu pada kedudukan ketujuh daripada negara yang telah bertanding.

Namun, kegagalan Rusia mempertahankan kerusi di bawah Kategori I dan II telah membuka satu lagi kekosongan di Kategori III. Rusia kemudiannya mencalonkan diri di bawah Kategori III, menjadikan keseluruhan pencalonan kepada 15 negara bagi kategori tersebut,” katanya lagi.

Pada tahun 2022, Malaysia mendapat sebanyak 136 undi dan berada di kedudukan ke-13 daripada 14 negara yang bertanding.

Mengulas lanjut kementerian berkenaan menyifatkan kejayaan tersebut hasil kerjasama pihak yang terlibat, termasuk pegawai-pegawai Kementerian Pengangkutan, Kementerian Luar Negeri, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Malaysia Aviation Group (MAG), Batik Air, AirAsia dan AirAsia X.

Seiring dengan kejayaan ini, Malaysia akan terus memperkukuhkan komitmen terhadap ICAO dalam memastikan keselamatan penerbangan, menyokong inisiatif inovasi, serta memperjuangkan kemampanan industri penerbangan global.

“Malaysia juga akan terus membangun infrastruktur strategik serta mempertingkatkan keupayaan institusi bagi memenuhi keperluan generasi profesional penerbangan masa hadapan,” tambahnya.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast