Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery (kiri) mengadakan sidang video bersama peserta Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotila ketika mengadakan lawatan ke Sumud Nusantara Command Centre di MAPIM Malaysia Central Warehouse, Sepang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 30 SEPTEMBER 2025

PUTRAJAYA- “Untuk peserta-peserta Misi Global Sumud Flotilla (GSF), sekiranya ada apa-apa berlaku sudah pastinya kerajaan Malaysia akan segera menyediakan bantuan,” kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Dalam masa yang sama katanya, seperti yang diumumkan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sebelum ini,  kerajaan juga akan menjaga kebajikan keluarga para peserta.

Seperti yang semua sedia maklum Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah melawat Sumud Nusantara Command Centre semalam dan memaklumkan ada beberapa bantuan akan diuruskan kepada keluarga peserta.

“Dan kita dimaklumkan ada gelombang ketiga (pasukan ketiga dari Malaysia) dalam perjalanan menuju ke Gaza jadi jumlah peserta Malaysia akan lebih besar,” katanya ketika sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.

Terdahulu, Fahmi berkata, beliau dimaklumkan bahawa kapal tentera Israel menghampiri bot-bot flotilla.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada tindakan pintasan fizikal dilakukan oleh pihak rejim.

Seluruh delegasi berada dalam keadaan berjaga-jaga termasuk, kesediaan sekiranya bot-bot mereka dipintas dan terputus hubungan,” katanya lagi.

Tambah beliau, misi bantuan global itu akan menyiarkan perkembangan terkini secara langsung sehingga memasuki zon merah untuk tontonan seluruh dunia.

“Kita perlu terus bantu untuk bina naratif menyokong perdamaian di Gaza dan usaha sumud flotila ini berjaya,” tambahnya.

Perkembangan terkini menyaksikan kapal tentera Israel menghampiri Misi GSF selain melakukan ugutan dan merosakkan sistem komunikasi bot-bot yang menyertai konvoi berkenaan.

Salah seorang aktivis yang menyertai konvoi berkenaan melaporkan, kapal tentera Israel melakukan taktik berbahaya dengan mengelilingi bot utama iaitu Alma dan Sirius.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast