Azam Baki

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memulihkan lebih RM28 bilion hasil usaha pemulihan aset sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, ini termasuk penyelesaian kes JPMorgan Chase & Co yang menyaksikan Malaysia memperoleh kembali sebanyak RM1.4 bilion.

“Kejayaan ini tidak datang secara bersendirian, tetapi hasil kerjasama erat dengan pelbagai agensi kerajaan dan kementerian.

“Antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Peguam Negara.

“Turut membantu termasuk rakan antarabangsa melalui mekanisme Mutual Legal Assistance (MLA),” katanya berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-58 di Puspanita Puri, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiring Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki beramah mesra pada Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-58 dan Pelancaran Keep Malaysia Clean di Puspanitapuri, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 01 OKTOBER 2025

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Peluncuran Keep Malaysia Clean (KMC).

Menurut Azam, Malaysia kini berada di landasan betul dalam usaha mengembalikan hak rakyat yang telah diseleweng hasil siasatan bersama pelbagai pihak.

“Antaranya Malaysia Asset Recovery Task Force (MATF) dengan kerjasama DOJ, FBI, OAG Switzerland dan lain-lain pihak.

“SPRM tidak boleh bekerja secara silo tanpa kerjasama dengan pihak lain,” katanya.

Jelasnya, melalui penubuhan Multi-Agency Task Force (MATF), tindakan proaktif berjaya diambil terhadap aktiviti haram berskala besar, termasuk membanteras aliran kewangan haram.

“Malaysia kini dilihat sebagai agensi utama dalam kalangan negara ASEAN dalam penguatkuasaan anti rasuah,” katanya.

Selain itu, kata Azam, SPRM menyambut baik usaha kerajaan untuk memperkenalkan kerangka undang-undang Deferred Prosecution Agreement (DPA).

“DPA telah lama diamalkan di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom yqng memberi ruang kepada kerajaan untuk mempercepatkan usaha pemulihan aset.

“DPA juga mengurangkan kerugian dana awam akibat salah guna kuasa, serta meningkatkan keberkesanan pendakwaan kes rasuah korporat.

“Segala usaha ini tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa iltizam politik yang jelas serta sokongan penuh daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast