KUALA LUMPUR – Krisis aliran tunai terus menjadi antara cabaran utama mengancam kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meskipun sektor itu merangkumi 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan berdaftar di Malaysia.
Dalam menangani tekanan berkenaan, Commerze Capital Sdn Bhd (CCSB) memperkukuh peranan sebagai institusi kewangan alternatif dengan menyediakan akses pembiayaan kepada PKS termasuk memperkenalkan dana khas bernilai RM50 juta bagi menyokong transformasi digital PKS Bumiputera di seluruh negara.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah kerjasama CCSB bersama Telekom Malaysia (TM) menerusi program TM PERINTIS yang menawarkan modal pusingan sehingga RM10 juta kepada vendor bagi membantu syarikat Bumiputera melaksanakan kontrak sektor awam dan GLC bernilai tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif CCSB, Shahrom Latif berkata, sejak 2007, pihaknya telah menyalurkan lebih RM800 juta pembiayaan kepada lebih 800 PKS khususnya dalam sektor perkhidmatan dan pembinaan.
“Lebih 70 peratus pelanggan CCSB terdiri daripada syarikat yang dikategorikan sebagai unbankable iaitu perusahaan yang menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan daripada institusi perbankan konvensional.
“Tekanan aliran tunai menjadi semakin kritikal apabila PKS yang memperoleh kontrak daripada agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu menunggu antara 30 hingga 90 hari untuk menerima bayaran sekali gus menekan modal pusingan dan mengehadkan keupayaan mereka mengembangkan perniagaan,” katanya daam kenyataan.
Bagi menangani isu itu, CCSB menawarkan dua instrumen pembiayaan patuh syariah berasaskan konsep Tawarruq iaitu Commerze Supply Contract Financing-Islamic (CSCF-i) dan Commerze Factor-Islamic (CF-i).
CSCF-i menyediakan fasiliti pembiayaan kontrak (pra-pemfaktoran) suntikan modal pusingan yang penting di peringkat awal projek bagi PKS yang baru mendapat kontrak.
Shahrom memberitahu, CCSB sedang membangunkan platform digital automatik bagi mempercepatkan proses kelulusan pembiayaan pra-pemfaktoran selaras dengan keperluan PKS terhadap akses dana yang lebih pantas dan fleksibel.
“Manakala CF-i membolehkan syarikat mendapatkan pendahuluan tunai berdasarkan invois yang telah dikeluarkan tetapi masih belum menerima bayaran.
“Pendekatan itu dilihat dapat membantu PKS mengekalkan kecairan operasi tanpa perlu menunggu tempoh pembayaran yang panjang sekali gus membolehkan mereka meneruskan projek, memenuhi komitmen kepada pembekal dan pekerja serta merebut peluang kontrak baharu,” jelas beliau.
Untuk maklumat lanjut mengenai kemudahan pembiayaan CF-i dan CSCF-i, layari laman web rasmi Commerze Capital Sdn Bhd di commerzecapital.com.my
Status CCSB sebagai syarikat ‘mesra ePerolehan’ yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan membolehkan integrasi pemfaktoran secara terus dari sistem e-Perolehan kerajaan, memastikan kelulusan dan penyaluran tunai yang sangat pantas.
“Jika perniagaan anda sedang bergelut dengan invois tertunggak atau kekurangan modal untuk memulakan kontrak baharu, sudah tiba masanya untuk anda beralih kepada alternatif yang lebih menyokong pertumbuhan anda. Proses permohonan bersama CCSB adalah dijamin pantas, telus dan tidak membebankan,” katanya. – MalaysiaGazette
















