Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam (kiri); Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Nazri Abu Bakar (dua dari kiri); Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tiga dari kiri) dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Ahmad Zamri Md Isa ketika Majlis Perasmian Seminar Aspirasi Pahang 1st Tingkatan Enam di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

KUANTAN – Buat julung kalinya, kerajaan negeri Pahang menganjurkan Seminar Aspirasi Pahang 1st membabitkan pelajar tingkatan enam di seluruh negeri.

Menerusi inisiatif Akademi Pahang 1st, seramai kira-kira 800 orang pelajar tingkatan enam dari empat buah daerah menghadiri seminar tiga hari yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia merupakan salah satu usaha untuk melahirkan anak-anak Pahang yang cemerlang dalam akademik khususnya peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysa (STPM) serta memupuk sahsiah dan jati diri mereka.

“Dan alhamdulillah melihat kepada semangat dan keupayaan mereka, Tok Wan nampak, insyaAllah kita akan mencipta lagi satu sejarah untuk pelajar-pelajar tingkatan enam ini mendapat keputusan yang yang baik.

“Dan bagi kerajaan negeri, kita akan beri sokongan yang sepenuhnya kepada mereka,” katanya.

Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar (depan kiri), Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (depan tengah) dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Ahmad Zamri Md Isa (depan kiri) bergambar bersama pelajar tingkatan enam dalam Seminar Aspirasi Pahang 1st Tingkatan Enam di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Aspirasi Pahang 1st Tingkatan Enam di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Jelas Wan Rosdy, aspek pendidikan merupakan antara teras aspirasi Pahang First selain institusi raja, agama dan warisan serta lonjakan ekonomi.

Justeru, program di bawah inisiatif Akademi Pahang 1st itu akan diteruskan ke setiap daerah di seluruh negeri.

“Mereka (pelajar) ni aset penting kerana mereka ni adalah pemimpin masa depan negara. Kita ingin melahirkan anak rakyat Pahang semuanya berpelajaran, berpendidikan tinggi kerana kita tahu hanya dengan pelajaran, pendidikan sajalah yang boleh mengubah nasib bangsa dan negeri kita.

“Kita nak jadikan pelajar kita daripada Pahang ni menduduki tempat yang teratas dalam bidang pendidikan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast