SHAH ALAM – Kertas siasatan berhubung kemalangan maut melibatkan sebuah lori di Plaza Tol Bukit Kajang yang meragut nyawa seorang bayi pada 27 September lalu telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Bagaimanapun menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, kertas siasatan tersebut dikembalikan bagi mendapatkan beberapa laporan pakar terlebih dahulu sebelum tindakan selanjutnya.
“Kertas siasatan dikembalikan sebab melibatkan beberapa agensi yang bersifat teknikal untuk memberi laporan akhir sebelum sebarang cadangan pertuduhan ataupun sebaliknya dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Mes Pegawai Kanan Polis, Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor, hari ini.
Jelasnya, suspek kejadian yang merupakan pemandu lori dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan.
Terdahulu, ketika kejadian jam 10.50 pagi Sabtu lalu seorang bayi lelaki berusia setahun empat bulan maut, manakala tujuh lagi cedera selepas kenderaan dinaiki mereka dilanggar sebuah lori.
Kemalangan itu membabitkan sebuah lori tiga tan yang membawa barangan lusuh, kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail milik Jabatan Kerja Raya (JKR), sebuah kereta jenis Honda City dan Proton X70.
Lori berkenaan didakwa mengalami masalah brek.
Dilaporkan, pemandu lori terbabit mengaku melompat keluar dari kenderaan berat sebelum nahas tragik terbabit.
Dalam pada itu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengesahkan telah membatalkan lesen pengendali syarikat lori yang terbabit. – MalaysiaGazette
















