Shazeli Kahar

SHAH ALAM – Pelajar yang dilaporkan jatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam sebelum ini, telah dibenarkan keluar daripada hospital pada 20 September lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, proses pemulihan pelajar tersebut menunjukkan perkembangan yang positif.

“Keadaan pelajar tersebut semakin positif proses pemulihannya boleh berjalan, boleh bercakap walaupun tidak lancar tapi dari segi pemakanannya belum teratur lagi,” katanya ketika sidang media di Mes Pegawai Kanan, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Jelasnya, pihaknya masih belum menyelesaikan proses mengambil keterangan daripada pelajar berkenaan kerana enggan memberi tekanan kepada mentalnya.

“Keterangan penuh dari pelajar belum selesai sebab sekarang masih dalam bentuk perbualan, sebab keadaan mentalnya tidak berapa pulih sebab kecederaannya di kepala, jadi kami ambil pendekatan berbuat untuk tidak memberi tekanan kepada mangsa tersebut ,” jelasnya.

Mengulas lanjut katanya, kertas siasatan telah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

“Kami masih lagi menunggu maklum balas, masih belum jawapan,” tambahnya.

Pada 24 Ogos lalu, pelajar lelaki terbabit dilaporkan parah selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama berkenaan sebelum menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh selepas dipindahkan dari Hospital Sabak Bernam.

Polis dilaporkan telah merakam keterangan lebih 12 individu termasuk pelajar, guru dan warden asrama selain memperoleh beberapa petunjuk penting bagi membantu siasatan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast