KUALA LUMPUR – UMNO berpendirian tegas bahawa Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) yang sedia ada perlu ditangguhkan dan tidak diteruskan pembentangannya pada Sidang Dewan Rakyat akan datang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu menzahirkan keprihatinan terhadap keresahan rakyat berhubung RUU berkenaan yang telah dibangkitkan pelbagai pihak kebelakangan ini.
“Sebuah Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar telah diadakan melibatkan pimpinan parti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, pemaju dan wakil masyarakat pelbagai kaum bagi membincangkan isu tersebut secara menyeluruh.
“Selaras dengan resolusi konvensyen, UMNO berpendirian tegas bahawa RUU URA yang sedia ada perlu ditangguhkan dan tidak diteruskan pembentangannya di Sidang Dewan Rakyat akan datang sehinggalah satu rombakan besar dilakukan dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC di sini, hari ini.
Menurut Asyraf, bagi memastikan proses penambahbaikan dilakukan dengan telus dan adil, UMNO turut melantik Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai wakil rasmi parti untuk mengadakan rundingan dengan pihak berkaitan dan membawa pendirian parti itu dalam usaha menambah baik RUU berkenaan.
Dalam perkembangan berasingan, beliau memberitahu, UMNO menggesa kerajaan bertindak tegas dalam isu penahanan sukarelawan Malaysia yang menyertai Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) oleh rejim Zionis-Israel.
“UMNO akan memastikan kerajaan melakukan segala usaha untuk menjamin keselamatan dan pembebasan segera tanpa syarat serta kompromi terhadap semua sukarelawan Malaysia yang ditahan secara tidak sah,” ujarnya.
UMNO katanya, turut menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar terus konsisten dalam membawa suara Malaysia di peringkat antarabangsa untuk mengiktiraf negara Palestin dan mendesak rejim Zionis Israel menghentikan operasi penghapusan etnik yang sedang berlaku di Gaza. – MalaaysiaGazette















