Penasihat undang-undang keluarga, Datuk Azar Irwan Arifin menunjukkan kesan kecederaan yang dialami seorang pelajar Tingkatan 3 pada sidang media di Hotel Concorde, Shah Alam.

SHAH ALAM – Insiden ejek-mengejek antara dua pelajar dipercayai menjadi punca seorang pelajar Tingkatan Tiga mengalami kecederaan selepas didakwa dipukul di sebuah sekolah menengah di Seksyen 7 di sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun daripada sekolah yang sama dengan mangsa telah ditahan dan direman sebelum dibebaskan dengan jaminan bagi membantu siasatan.

“Suspek juga telah ditangkap dan direman, namun telah dibebaskan dengan jaminan sementara kertas siasatan dilengkapkan sepenuhnya untuk dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

“Mengikut keterangan yang ada sehingga kini, punca kejadian disebabkan kerana ejek-mengejek yang berlaku sebelum ini di antara kenalan. Suspek dengan mangsa satu sekolah, mereka berbeza umur,” katanya ketika sidang media di Mes Pegawai IPK Selangor di sini, hari ini.

Terdahulu beliau berkata, polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengadu dan mangsa.

“Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan, masing-masing berkaitan kesalahan ugutan dan mendatangkan kecederaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shazeli berkata, pihaknya bagaimanapun masih menunggu laporan rasmi daripada pegawai perubatan sebelum dapat mengulas lanjut mengenai kecederaan yang dialami mangsa.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Seksyen 7 mendakwa dibelasah seorang pelajar Tingkatan Lima sehingga mengalami kecederaan pada kepala, leher dan kedua-dua telinga, selain kemungkinan berdepan masalah pendengaran.

Lebih membimbangkan, keluarga mangsa mendakwa pelajar terbabit mengalami trauma dan takut untuk kembali ke sekolah selepas didakwa menerima ugutan.

Penasihat undang-undang keluarga, Datuk Azar Irwan Arifin berkata, mangsa, Edris Adrian Azwan telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Shah Alam susulan kejadian itu.

Menurutnya, laporan perubatan bertarikh 12 Ogos lalu yang disediakan Dr Lokitha Pulayantran turut merekodkan kecederaan pada bahagian belakang leher serta kedua-dua telinga mangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here