PUTRAJAYA – Malaysia telah mencapai matlamat utama apabila kemiskinan tegar telah hampir dinoktahkan kepada 0.09 peratus.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia menunjukkan pelbagai inisiatif peningkatan pendapatan rakyat, pemerkasaan ekonomi komuniti bandar dan pembangunan kesejahteraan rakyat menunjukkan keberkesanan dan akan diteruskan oleh kerajaan.
Katanya, taraf hidup rakyat bertambah baik dengan pendapatan purata bulanan isi rumah meningkat daripada RM7,901 pada tahun 2019 kepada RM8,479 pada tahun 2022.
“Seterusnya kepada RM9,155 pada tahun 2024 iaitu peningkatan sebanyak 3.8 peratus berbanding tahun 2022.
“Pekali Gini yang mengukur jurang kesenjangan pendapatan pula semakin mengecil, daripada 0.404 pada tahun 2022 kepada 0.390 pada tahun 2024.
“Ini merupakan salah satu indikator yang baik dalam landskap sosiekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah iaitu HIES 2024 di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Dr. Mohd Uzir Mahidin.
Bermula 2014, HIES merupakan instrumen statistik yang digunakan untuk mengukur kemajuan dan peningkatan status sosioekonomi isi rumah.
Ianya merupakan salah satu sumber utama bagi merangka dasar ekonomi dan sosial Negara termasuk pembasmian kemiskinan bagi warganegara, meningkatkan pendapatan rakyat, mengurangkan jurang ketidaksamarataan bagi dimensi pendapatan serta menangani kos sara hidup rakyat.
Berdasarkan dapatan HIES, kerajaan dapat menyediakan statistik dan maklumat berkaitan tingkat pendapatan, corak perbelanjaan isi rumah, status kemiskinan dan penentuan kumpulan isi rumah mengikut pendapatan di Malaysia.
Amir Hamzah menambah, manfaat penemuan survei HIES antaranya dapat diterjemahkan melalui keberkesanan pelaksanaan program kerajaan bagi pembasmian kemiskinan di Malaysia di mana kadar kemiskinan telah menurun 5.1 peratus dengan signifikan iaitu 49.3 peratus pada tahun 1970 kepada 6.2 peratus pada tahun 2022.
“Sebelum ini saya ada memaklumkan bahawa insiden kemiskinan mutlak telah menurun kepada 5.8 peratus dan ini adalah berdasarkan data preliminary.
“Berdasarkan laporan sebenar HIES 2024, insiden kemiskinan mutlak telah menurun kepada 5.1 peratus pada tahun 2024 berbanding 6.2 peratus berbanding tahun 2022,” katanya. – MalaysiaGazette
















