SHAH ALAM – Sebanyak RM50 juta dana akan disalurkan kepada Pos Malaysia menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai pembiayaan kewangan bagi memastikan perkhidmatannya kekal mampan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, peruntukan tersebut disalurkan atas dasar Universal Service Obligation (USO), selaras dengan Akta Perkhidmatan Pos 2012 .
“Di bawah akta itu sebenarnya ada satu peruntukan untuk pewujudkan sebuah tabung perkhdmatan pos kita dalam proses untuk mewujudkannya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Redly, Penyelesaian Berassaskan Teknologi untuk E-Dagang Global dan Penghantaran Merentas Sempadan.
Beliau yakin peruntukan tersebut akan membantu Pos Malaysia dalam usaha melaksanakan transformasi yang seiring dengan cabaran semasa perkhidmatan penghantaran surat dan kurier.
Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan Akta Perkhidmatan Pos yang digubal pada 2012 dijangka akan dipinda.
Jelas Fahmi, pindaan akta berkenaan melibatkan perubahan ekosistem perkhidmatan pos dan aspek perundangan yang bersesuaian dengannya.
“Akta Perkhidmatan Pos digubal pada tahun 2012, pada waktu itu kita belum meluluskan jumlah pemegang lessen yang begitu besar, seperti yang kita saksikan pada hari ini dan belum ada waktu itu lambakan platform e-Dagang yang memberi kesan kepada ekosistem dan waktu itu hanya ada perkhidmatan pos belum ada kurier.
“Jadi perlu ada beberapa perkara kita pinda untuk pastikan ekosistem itu lestari, mampan, kebajikan pekerja terjamin di samping memastikan beberapa cabaran dari segi perundangan dapat diuruskan dengan lebih baik,” katanya yang memaklumkan sesi libat urus dengan industri berkaitan sedang berlangsung sejak beberapa minggu sebelum ini.
Terdahulu ketika berucap menyuarakan harapan supaya Pos Malaysia sentiasa relevan dan sentiasa bersedia menghadapi cabaran semasa khususnya melibatkan platform perkhidmatan kurier dan E-Dagang.
“Persoalan yang saya telah ajukan kepada pengurusan tertinggi Pos Malaysia di manakah Pos Malaysia dalam tempoh 50 hingga 100 hingga 200 tahun dari sekarang, apakah cabaran-cabarannya?
“..Dan bagaimana perlu melakukan beberapa perubahan untuk jamin kemampanan organisasi dalam ekosistem yang sekarang lebih terangkum dan memang tidak boleh dinafikan kita bercakap tentang e-Dagang, ekonomi digital tapi ada satu aspek hubungan manusia dilengkapkan dengan penghantaran surat atau parcel,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















