Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Kamarul Zaman Shaharul Anwar bercakap pada sidang media perkembangan terkini pelayaran kapal Conscience ke Gaza misi di bawah Freedom Flotilla Coalition di Pejabat HQ Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 OKTOBER 2025

SERI KEMBANGAN – Humanitarian Care Malaysia (MyCare) masih menunggu maklumat daripada pihak Wisma Putra untuk mengesahkan status sembilan aktivis Malaysia yang mungkin  dalam penerbangan yang dijadualkan tiba di Turkiye jam 3 petang waktu tempatan negara tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif  MyCare, Kamarul Zaman Shahrul Anwar berkata, pihaknya difahamkan rakyat Malaysia merupakan antara sekumpulan aktivis daripada 22 buah negara yang akan dibawa pesawat negara tersebut.

“MyCare menerima maklumat tersebut daripada Command Centre Freedom Flotilla Coalition di Turkiye,” katanya pada sidang media perkembangan terkini mengenai rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel sebelum itu.

Sembilan aktivitis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFCxTMTG) ialah Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail, Dr Maziah Muhammad, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Mengulas lanjut Kamarul berkata, wakil MyCare akan berangkat ke Istanbul dalam waktu terdekat untuk membawa keperluan kepada sukarelawan.

Selalunya akan ada saringan kesihatan untuk semua delegasi misi di Istanbul, MyCare akan hantar dua, tiga orang wakil ke sana untuk bawa keperluan baju dan lain-lain lagi,” tambahnya.

Semalam dilaporkan semua 145 aktivis termasuk sembilan delegasi Malaysia telah dipindahkan ke penjara Ketziot, Negev, Israel.

Mereka adalah sukarelawan gelombang ketiga flotilla kemanusiaan yang berlepas secara berperingkat menuju ke Gaza membawa bantuan ditahan pada Rabu lalu, selepas kapal mereka dipintas.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast