KUALA LUMPUR – Sembilan delegasi Malaysia dalam misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFCxTMG) yang ditahan tentera Israel dijangka pulang ke Malaysia pada Ahad ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyCare, Kamarul Zaman Shahrul Anwar, terdahulu Wisma Putra memaklumkan kesemua delegasi berkenaan dibebaskan dan akan tiba di Istanbul, Turkiye pukul 7.30 malam ini.
“Pihak MyCARE telah menghantar wakil ke Istanbul untuk menyambut kepulangan sembilan orang aktivis misi FFC ini,” katanya menerusi kenyataan.
Semalam, semua 145 aktivis termasuk sembilan delegasi Malaysia telah dipindahkan ke penjara Ketziot, Negev, Israel.
Mereka adalah sukarelawan gelombang ketiga flotilla kemanusiaan yang berlepas secara berperingkat menuju ke Gaza membawa bantuan ditahan pada Rabu lalu selepas kapal mereka dipintas tentera Israel.
Sembilan aktivitis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan tersebut ialah Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail.
Turut menyertai misi itu, Dr Maziah Muhammad, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.–MalaysiaGazette
















