KUALA LUMPUR – Empat pelajar yang disyaki terlibat dalam kes rogol bergilir-gilir mempunyai hak untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan bermula pada 3 November depan.
Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan, kebenaran berkenaan tidak menganggu proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Lembaga Tatatertib Sekolah akan menjatuhkan hukuman buang sekolah terhadap murid yang didapati bersalah,” kata KPM menerusi kenyataan.
Terdahulu, kata KPM, pihaknya mengambil perhatian kesejahteraan murid yang menjadi mangsa salah laku seksual di sebuah sekolah menengah di Melaka itu.
Jelas KPM, mangsa sedang mendapatkan rawatan di hospital dan diberikan sokongan psikososial untuk membantu dari aspek mental dan emosi.
Media melaporkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di sini mengalami trauma termasuk tidak mahu ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir dua pelajar senior.
Lebih menjijikkan, perbuatan tersebut dirakam dan dilihat dua pelajar lain menggunakan telefon bimbit dalam kejadian di sebuah kelas kira-kira 2.50 petang pada minggu lalu.
Susulan itu, kesemua suspek telah direman selama enam hari bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette
















