Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa menafikan dakwaan Tan Sri Annuar Musa yang menuduh beliau berbohong kepada Parlimen serta memesongkan fakta ketika sesi penerangan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu.

Dr Zaliha menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai fitnah yang serius dan berpotensi mencalar reputasinya sebagai seorang menteri selain merendahkan integriti institusi Parlimen itu sendiri.

“Saya terpanggil menjawab tuduhan yang dibuat oleh Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa kononnya saya telah berbohong kepada Parlimen, melakukan fitnah dan memesongkan fakta dalam Sesi Penerangan Menteri pada 9 Oktober 2025.

“Tidak ada keperluan untuk saya mengulangi perkara yang telah saya bentangkan, kerana segala fakta yang dikemukakan di Dewan Rakyat adalah bersandarkan dokumen rasmi kerajaan yang direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zaliha menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu yang memberikan notis terhadap beliau berhubung pengambilan tanah Kampung Sungai Baru telah dilakukan secara tergesa-gesa membabitkan tempoh tiga hari pada 2021.

Beliau menjelaskan, segala fakta yang dibentangkan di Dewan Rakyat adalah berdasarkan dokumen rasmi kerajaan yang direkodkan dan bukannya pandangan peribadi.

Tambah beliau, sekiranya Annuar mempunyai bukti bahawa fakta yang dikemukakan telah diseleweng, maka bekas menteri itu perlu tampil dan mengemukakan bukti sahih, bukan membuat tuduhan tanpa asas.

“Sekiranya beliau mendakwa saya memesongkan fakta, maka beliaulah yang wajar tampil dan mengemukakan bukti sebaliknya. Integriti Dewan Rakyat tidak boleh dipermainkan dengan tuduhan yang tidak bersandarkan asas,” katanya.

Sementara itu, menurut Zaliha, tumpuan kerajaan pada masa ini adalah menyelesaikan isu penempatan semula penduduk Kampung Sungai Baru agar mereka yang bersetuju untuk kembali dapat menikmati hak yang sewajarnya.

“Fokus Kerajaan Madani pada masa ini adalah memastikan penduduk yang telah bersetuju kembali semula ke Kampung Sungai Baru dengan segera dan memperoleh hak yang sewajarnya,” jelasnya.

Semalam, Annuar berkata, beliau memberikan notis kepada Zaliha agar memberi penjelasan dan mengulangi tuduhan berkenaan secara bersemuka dengannya di luar Parlimen melalui dua pilihan.

Ia susulan pada sesi penerangan Hala Tuju Pembangunan Kampung Baru di Dewan Rakyat, Khamis lalu, Zaliha dipetik berkata, keputusan berkaitan kelulusan pewartaan membabitkan Kampung Sungai Baru mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) pada 2021 dalam tempoh tiga hari.

Menurut Zaliha, keputusan berkenaan dibuat selepas permohonan mengambil alih tanah berkenaan, termasuk kediaman flat dan lot teres, dikemukakan pemaju kepada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) ketika itu.

Zaliha berkata, kewajaran kelulusan secara tergesa-gesa yang menyebabkan semua tanah terbabit menjadi hak milik pemaju, bagaimanapun perlu diajukan kepada Annuar sebagai Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu.

Pada Jumaat lalu, Annuar yang menyifatkan kenyataan Dr Zaliha di Dewan Rakyat itu sebagai penyelewengan fakta dan fitnah serius, memberi dua pilihan kepada menteri berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast