Muhammad Mustaqim Zakaria

KUANTAN –  Kementerian Pendidikan (KPM) tidak boleh menunggu tragedi hitam seterusnya sebaliknya mesti kembali kepada asas melahirkan insan berilmu, beriman dan berakhlak.

Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang menzahirkan rasa kesal terhadap insiden yang berlaku di sekolah baru-baru ini termasuk kes buli, rogol dan bunuh kerana beranggapan kes jenayah serius yang tidak seharusnya terjadi di dalam persekitaran sekolah.

Ketua penerangannya, Muhammad Mustaqim Zakaria berkata, tragedi itu menjadi isyarat jelas sistem pendidikan perlu diberi perhatian semula agar keseimbangan antara pencapaian akademik, pembentukan akhlak, moral dan kesejahteraan mental pelajar dapat diperkukuh.

“Pemuda UMNO Pahang sedia duduk semeja bersama warga pendidik dan ibu bapa untuk melontarkan idea serta mencari jalan terbaik bagi menangani isu ini secara bersama demi masa depan generasi muda yang lebih baik.

“Sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk membentuk sahsiah dan jati diri pelajar, bukan sebaliknya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru, Pemuda UMNO Pahang mendesak KPM menilai semula dasar pendidikan sedia ada dan melaksanakan reformasi nilai dan moral secara menyeluruh.

Langkah itu termasuk menambah masa pengajaran subjek agama dan moral, memperkasa aktiviti luar bilik darjah, memperkukuh sistem disiplin serta mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman rotan secara berhemah.

Pemuda UMNO Pahang turut mencadangkan penubuhan Task Force Khas Pemulihan Moral dan Disiplin Pelajar Nasional yang melibatkan KPM, Polis Diraja Malaysia, pertubuhan badan bukan kerajaan, institusi agama dan PIBG bagi merangka silibus pendidikan berasaskan rohani dan moral, serta memperkukuh kawalan keselamatan di sekolah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast