DATUK Dr Wee Ka Siong pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2026 tidak mencermikan semangat transformasi seperti yang sering dilaungkan Kerajaan Madani sebaliknya lebih kepada `transfer-kasi’.

Menjelaskan lebih lanjut, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berkata, `transfer-kasi’ itu apabila beban kewangan kerajaan dipindahkan kepada rakyat melalui cukai-cukai, caj dan pemotongan subsidi terselindung.

Selain itu, menurutnya, `transfer-kasi’ juga boleh dilihat apabila dana sehingga RM50 bilion dikutip daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membiayai projek-projek kerajaan.

“Belanjawan 2026 ini sepatutnya lebih banyak reformasi bukannya “transfer-kasi” kepada rakyat dan GLC atau GLIC. Ini yang perlu dihindari.

“Tumpukan pada reformasi sebenar bukannya meneruskan amalan “transfer-kasi” beban kewangan daripada kerajaan kepada rakyat serta institusi seperti GLC dan GLIC,” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Tegas Ka Siong yang juga Presiden MCA, langkah menggunakan dana GLC dan GLIC bukan reformasi fiskal tetapi penjarahan fiskal iaitu ibarat ‘menyembelih itik yang bertelur emas’.

Katanya, ia juga menimbulkan persoalan tentang penyimpangan daripada mandat teras korporat asal GLC dan GLIC.

Tambah beliau, langkah itu tidak bermakna kerajaan berjimat sebaliknya ia boleh menjejaskan pulangan jangka panjang kerana pelaburan sedemikian berpotensi mengurangkan dividen yang sepatutnya disalurkan semula kepada rakyat.

“Saya ingin menegaskan di sini, GLC dan GLIC bukan mesin ATM kerajaan. Mereka diwujudkan untuk menjana pelaburan strategik dan pulangan jangka panjang kepada rakyat.

“Apabila mereka dipaksa mencairkan aset bagi membiayai perbelanjaan semasa, kerajaan sebenarnya menggadaikan pendapatan masa depan untuk menampung kelemahan hari ini.

“Cara ‘tutup lubang gali lubang’ seperti ini tidak dapat selesaikan masalah pokok,” katanya.

Lebih membingungkan, tambah Ka Siong, ketika GLC dan GLIC diperah untuk vanity project, program asas seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang sudah terbukti berjaya membantu menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat yang memerlukandibiarkan tanpa pembiayaan mencukupi.

Ujarnya, dalam beberapa belanjawan kebelakangan ini, tiada suntikan baharu disalurkan kepada PR1MA sedangkan keperluan rumah mampu milik terus meningkat dan harga pasaran semakin di luar jangkauan rakyat biasa.

“Jika kerajaan benar-benar serius mahu membantu rakyat memiliki rumah sendiri, maka pengukuhan PR1MA jauh lebih strategik dan inklusif,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast