PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) disaran mengembalikan semula penghormatan terhadap guru sebagai langkah penting menangani pelbagai masalah sosial dalam kalangan pelajar termasuk isu buli di sekolah.
Cadangan itu disuarakan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semasa Persidangan Meja Bulat Belia di kementerian berkenaan hari ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, saranan tersebut akan dijadikan antara input utama dalam nota Jemaah Menteri untuk tindakan bersama pelbagai kementerian dalam usaha membanteras gejala buli.
“Saya rasa cukup penting (cadangan kembalikan penghormatan guru) dan ada banyak suara yang kata kita perlu kembalikan penghormatan guru di sekolah.
“Apa maksud guru mesti dihormati dan kalau ibu bapa tak memberikan penghormatan kepada guru, susah untuk guru melaksanakan tindakan disiplin dan tatatertib di sekolah,” katanya dalam sidang media selepas sesi meja bulat tersebut di sini hari ini.
Persidangan meja bulat itu dihadiri kira-kira 200 peserta daripada pakar pelbagai bidang, pegawai kanan kementerian dan jabatan, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wakil belia.
Sesi berkenaan bertujuan mendapatkan maklum balas dan pandangan berhubung faktor yang mendorong kes buli serta cadangan langkah intervensi berkesan untuk dimanfaatkan dalam Resolusi Memperkukuhkan Langkah Pencegahan dan Menoktahkan Budaya Buli.
Bagaimanapun, Hannah berkata, pandangan berhubung penghormatan terhadap guru turut mendapat reaksi berbeza daripada kumpulan belia yang menyifatkan penghormatan perlu diperoleh melalui tindakan bukan secara automatik.
“Kumpulan belia pula kata respect bukan automatik tapi perlu diperoleh. Ini suara orang muda. Jadi generasi berlainan mempunyai pandangan berlainan,” katanya.
Menurut Hannah, hasil keseluruhan perbincangan akan dikumpulkan dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi sebagai nota makluman kepada Kabinet.
“KBS selalunya akan sediakan nota Jemaah Menteri sebagai nota makluman kepada Kabinet dan kita ada saranan-saranan di situ yang kementerian lain boleh beri perhatian dan bekerjasama,” jelasnya.
Beliau berkata, antara dapatan penting termasuk keperluan melaksanakan sistem bimbingan yang lebih tersusun serta melatih tenaga kerja belia profesional bagi membantu pelajar melalui pendekatan mentor-mentee secara berkesan dan selamat.
Selain itu, katanya, Kementerian Kewangan memperuntuk tambahan bajet kepada KBS bagi tahun depan dengan peningkatan 60 peratus daripada RM25 juta kepada RM40 juta bagi pelaksanaan program Rakan Muda termasuk RM5 juta khusus untuk inisiatif melawan buli.
“Kita akan lihat intervensi yang sesuai di bawah program Rakan Muda dan membantu kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina yang sedang mengumpulkan dapatan daripada sesi town hall,” katanya lagi.
Jelas Hannah, usaha KBS adalah pelengkap kepada inisiatif kementerian lain termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam membina generasi prihatin serta menoktahkan budaya buli di negara ini.
“Saya rasa mentoring sistem ini menarik kerana melibatkan golongan lain yang boleh membantu. Kalau kita hanya bergantung kepada guru ataupun PIBG, kebanyakan mereka mempunyai tanggungjawab asas dan mungkin tidak ada masa untuk luangkan masa bagi kes-kes spesifik tetapi kita ada banyak golongan belia dan NGO yang sebenarnya boleh membantu,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















