Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bukan masanya untuk semua pihak menuding jari dan menyalahkan antara satu sama lain, sama ada ibu bapa atau guru yang bertanggungjawab terhadap pembentukan sasiah remaja.

Sebaliknya Pakar Psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria berkata, masalah remaja perlu diketahui secara spesifik kerana ia dipengaruhi oleh beberapa aspek termasuk institusi kekeluargaan, rakan sebaya dan akses kepada media sosial.

Dalam masa sama, menurut Rozanizam, tidak dapat dinafikan pendidikan anak-anak bermula daripada rumah bukan bererti bagaimana ibu bapa mendidik semata-mata, tetapi bergantung bagaimana hubungan kekeluargaan itu terjalin yang akhirnya menghasilkan karakter dan cara fikir anak-anak.

Dr Rozanizam Zakaria

“Mungkin ada ibu bapa yang mendidik anak-anaknya dengan baik, tapi di luar ada pengaruh rakan sebaya yang tidak baik. Mungkin ada juga di sekolah baik tapi di rumah ada masalah, isu penderaan, trauma, penceraian dan banyak lagi itu juga boleh berlaku.

“Kita semua kena lihat semua aspek, semua pihak juga kena berada dalam muka surat yang sama dalam memastikan masalah remaja pada masa sekarang diatasi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau turut bersetuju dengan hasrat kerajaan untuk melaksanakan reformasi terhadap sistem pendidikan demi memastikan keselamatan, sekaligus mengawal akses media sosial dalam kalangan kanak-kanak bawah 13 tahun.

Tambah Rozanizam, ibu bapa, sistem pendidikan dan pihak berkuasa selain masyarakat perlu saling bekerjasama dalam memastikan masalah sosial remaja dapat ditangani kerana ia merupakan isu rumit dan kompleks.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya suruhanjaya ditubuhkan bagi memudahkan perbincangan dan libat urus secara terbuka diadakan di antara pendidik, ibu bapa mengenai pandangan, syor terhadap penambahbaikan yang boleh dilakukan terhadap sistem pendidikan.

“Supaya kita tidak sekadar menyambung polisi sedia ada yang mungkin tidak relevan untuk hari ini, dengan generasi dan pendedahan yang hari ini, pengaruh-pengaruh luar kawalan kita perlu reform cara fikir kita dalam menyelesaikan isu kanak-kanak remaja,” katanya.

Sementara itu, Rozanizam berkata, rotan bukan satu-satunya hukuman yang sesuai untuk semua jenis masalah disiplin pelajar di sekolah.

Menjadi guru yang garang setiap masa juga bukan satu-satunya cara yang bertepatan untuk melahirkan pelajar yang bebas daripada masalah disiplin sehingga mencetus pelbagai isu seperti yang tercetus sejak kebelakangan ini, ujarnya.

Sebaliknya cara mendidik perlu bersesuaian dengan perubahan masa, katanya.

“Saya setuju guru-guru perlu diberi hak dan kuasa untuk membentuk sasiah murid-murid dengan syarat ia dilakukan dengan SOP dan garis panduan yang jelas.

“Isu rotan, ia bukan penyelesaian sebab kita kena lihat masalah disiplin, tingkah laku remaja datang atas pelbagai sebab,” kata Rozanizam.

Ujar beliau, polemik saling tuding menuding tidak akan menjadi penyelesaian terhadap isu semasa melibatkan sasiah dan pembentukan remaja, sebaliknya semua pihak perlu saling terbuka menerima pandangan yang selari dengan kesesuaian masa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast