SHAH ALAM – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Zahid Hamidi yakin, Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-27 yang akan bermula 29 November ini tidak akan menjejaskan proses mengundi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat ketetapan hari mengundi pada tarikh tersebut selepas mengambil kira pelbagai aspek.
“Kemungkinan mereka (SPR) sudah membuat persiapan dengan UMS di mana dewan UMS tidak digunakan untuk proses pengundian. Ibu bapa yang datang (ke Istiadat Konvokesyen UMS Ke-27) pun bukan hanya berasal dari Sabah sahaja.
“Ini kerana mahasiswa UMS terdiri daripada seluruh negara dan saya tak nampak sebarang masalah mengenainya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Industri Sukan ASEAN, di sini, hari ini.
PRN17 Sabah ditetapkan pada 29 November depan, manakala tarikh penamaan calon pada 15 November dan mengundi awal pada 25 November.
Istiadat Konvokesyen Ke-27 UMS pula akan bermula pada 29 November hingga 2 Disember depan.
Sementara itu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam industri sukan yang mempunyai peluang pekerjaan bernilai tinggi, terutama kepada golongan belia.
Jelasnya, pendirian itu selari agenda negara yang sedang membentuk generasi muda dengan keupayaan bersukan, reka bentuk, mengurus dan berinovasi dalam ekonomi sukan, melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Sehubungan itu, beliau percaya melalui kerjasama lebih erat dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia akan dapat berkongsi kepakaran, membina rangkaian latihan lebih kukuh serta menjadikan sukan sebagai platform penyatuan bagi kemajuan ekonomi dan sosial.
“Selaras komitmen ini, Malaysia berhasrat menjadi Hab Serantau bagi Teknologi dan Inovasi Sukan iaitu pusat bagi golongan muda mampu mengubah minat menjadi kerjaya, kreativiti menjadi perusahaan, dan inovasi menjadi masa depan,” tambah beliau.-MalaysiaGazette
















