Gambar hiasan aerotrain KLIA. Foto AIZAT ZAINAL, 24 JANUARI 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Kegagalan berulang kali sistem aerotrain baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disifatkan sebagai satu ‘bala yang memalukan’.

Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin mendakwa, sejak memulakan operasi pada Julai lalu sehingga pertengahan Oktober, sistem aerotrain itu dilaporkan mengalami 20 kerosakan dan insiden terbaharu pada 14 Oktober.

“Malangnya, sejak dirasmikan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, pada 1 Julai lalu, sistem yang dilaporkan berharga RM456.1 juta itu kerap mengalami kerosakan dan menjadi sumber celaan media sosial.

“”Soalannya, siapakah yang patut dipersalahkan?,” tanya beliau dalam hantaran di Facebook hari ini.

Jelas beliau, dengan jumlah pelaburan besar dan teknologi moden, prestasi sistem itu tidak sepatutnya mengecewakan pengguna.

Malah, beliau mempersoalkan mengapa projek yang kelihatan mudah itu tergendala dan gagal berfungsi dengan baik walaupun dilaksanakan oleh tiga syarikat besar iaitu Alstom dari Perancis, IJM Construction Sdn. Bhd. dan Pestech Technology Sdn. Bhd.

“Dengan pembabitan tiga buah syarikat yang terkenal dan terbukti, mengapakah projek mudah yang sekadar menggantikan kemudahan sedia boleh tergendala dan apabila beroperasi, prestasinya sangat mengecewakan?” soalnya lagi.

Beliau turut mendakwa, MAHB mengambil masa terlalu lama untuk melantik kontraktor walaupun operasi aerotrain asal dihentikan pada Mac 2023.

“Setahun lebih baru kontrak pembinaan ditandatangani. Seolah-olah MAHB langsung tidak bersedia atau tidak mahu berbelanja.

“Lepas itu, kontraktor pula gagal sempurnakan tugas. Yang dilaporkan adalah gerabaknya dibina di China,” katanya.

A. Kadir Jasin

Beliau turut memaklumkan pada 16 Oktober, MAHB dikatakan akan melantik penaksir bebas bagi menilai semula reka bentuk bekalan elektrik dan pemasangan sistem aerotrain tersebut.

“Untuk ini terjadi sangatlah memalukan dan menimbulkan kecurigaan terhadap MAHB,” katanya.

Beliau berkata, situasi itu menimbulkan persoalan besar terhadap keberkesanan pengurusan MAHB yang kini telah diswastakan dengan 30 peratus saham dijual kepada pelabur asing.

“Adakah MAHB lebih baik sekarang sebagai syarikat sendirian berhad dengan empat pemegang saham atau 25 tahun sebagai syarikat tersenarai?

““Apabila sistem bernilai ratusan juta gagal berfungsi selepas hanya beberapa bulan, ia bukan lagi ujian – tetapi bala yang memalukan” soalnya.

Khamis lalu, MAHB mengesahkan perkhidmatan aerotrain di Terminal 1 KLIA kembali beroperasi seperti biasa selepas gangguan sementara yang berlaku petang Rabu lalu.

Kejadian yang berlaku sekitar 8.30 malam itu menyebabkan pengendali lapangan terbang berkenaan segera mengaktifkan langkah-langkah kontingensi.

MAHB berkata, menjelang 9.27 malam pada hari yang sama, sebuah tren telah berjaya dipulihkan untuk beroperasi semula dan selepas beberapa siri ujian keselamatan serta operasi dijalankan, kedua-dua tren beroperasi seperti biasa.

Untuk rekod, sejak 2 Julai hingga 30 September lalu, terdapat 19 kali sistem aerotrain mengalami masalah, antaranya berkaitan isu teknikal, seperti semboyan dan disebabkan manusia, seperti penumpang cuba membuka pintu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast