Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berucap pada Musyawarah Nasional 2.0 Realiti dan Persepsi jangan mempolitikkan Tabung Haji di Premiera Hotel, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 25 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Sekiranya benar Tabung Haji (TH) sudah diselamatkan selepas 2018, persoalannya sekarang ialah siapa yang menjamin wang pendeposit terus dilindungi, tanya Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, persoalan itu timbul susulan pemindahan aset TH kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), yang sering digambarkan sebagai langkah menyelamatkan institusi berkenaan.

Oleh itu, beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkata, kerajaan perlu menjelaskan bagaimana UJSB mampu memenuhi kewajipan kewangannya kepada TH dan memastikan kepentingan pendeposit terjamin.

“Kalau dikatakan menyelamat, apa menyelamatnya?” soalnya ketika program Musyawarah Nasional ‘Realiti atau Persepsi: Jangan Politikkan Tabung Haji’ di sini, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, antara perkara yang perlu dijelaskan ialah bagaimana bayaran berkaitan sukuk yang diterbitkan dalam proses penstrukturan aset TH akan dibuat.

Katanya, persoalan utama bukan sekadar mengenai aset yang dipindahkan, tetapi bagaimana dan dari mana sumber pembayaran kepada TH akan diperoleh.

“Apakah jaminan bahawa wang pendeposit yang bernilai lebih daripada RM21 bilion yang perlu dibayar menjelang 2029 dan 2036 akan dibayar balik kepada para pendeposit?” soalnya.

Beliau berkata, jika struktur berkenaan benar-benar bertujuan menyelamatkan TH, kerajaan perlu memberi jaminan bahawa semua kewajipan kewangan itu mampu dipenuhi apabila tiba tempohnya.

Pada masa sama, Asyraf Wajdi menjelaskan, pemindahan aset kepada UJSB bukan sekadar pertukaran aset, sebaliknya membabitkan penjualan aset dan pembayaran kepada TH dalam bentuk tunai serta instrumen kewangan.

Berikutan itu, perkara tersebut perlu dijelaskan secara terbuka kepada pendeposit kerana ia berkait dengan kedudukan aset dan tanggungan kewangan TH pada masa depan.

Beliau turut menegaskan isu berkenaan tidak wajar dilihat hanya dari sudut politik, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan fakta, dokumen dan kemampuan struktur berkenaan memenuhi kewajipan kepada TH.

“Apa yang lebih penting sekarang ialah memastikan setiap tanggungan dapat dipenuhi dan kepentingan pendeposit tidak terjejas, selain menjelaskan secara terbuka kedudukan aset serta sumber pembayaran,” tegas beliau.

Asyraf Wajdi menambah, jika benar terdapat kelemahan atau salah urus dalam mana-mana keputusan berkaitan TH, perkara itu perlu dibuktikan melalui fakta dan dokumen, bukannya hanya berdasarkan persepsi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here