Ayub Yaakob

KUALA LUMPUR – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) memberi peringatan tegas bahawa peningkatan kes jenayah, buli dan salah laku murid di sekolah tidak boleh dipandang remeh dan memerlukan tindakan segera dan menyeluruh daripada semua pihak.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, keadaan semasa amat membimbangkan apabila kes-kes berkenaan dilaporkan hampir setiap minggu, termasuk yang meragut nyawa pelajar.

“Keadaan ini tidak boleh dipandang remeh dan memerlukan perhatian serta tindakan segera daripada semua pihak yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ayub turut menegaskan, isu buli dan salah laku bukan sekadar masalah disiplin di sekolah, tetapi mencerminkan kegagalan bersama dalam mendidik serta membentuk nilai moral generasi muda.

Jelasnya lagi, buli dan jenayah di sekolah bukan hanya memberi kesan kepada mangsa, tetapi menjejaskan keselamatan serta keharmonian seluruh komuniti sekolah.

“Kejadian seperti ini bukan saja melibatkan kecederaan fizikal, namun memberi kesan jangka panjang terhadap emosi dan mental murid yang akhirnya boleh mempengaruhi perkembangan mereka dalam kehidupan,” ujarnya.

Menurutnya, MCPF menyokong penuh langkah kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang sedang memperkukuh tindakan penguatkuasaan dan pendidikan dalam menangani masalah sosial di peringkat sekolah.

“MCPF amat menghargai langkah tegas KPM dalam memastikan sekolah menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak menuntut ilmu,” katanya.

Katanya, peranan ibu bapa amat penting dalam membentuk sahsiah anak-anak di rumah.

“Dalam menghadapi cabaran ini, kita tidak boleh menafikan peranan penting ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Mendidik anak-anak adalah bermula di rumah. Jangan sesekali kita melepaskan tanggungjawab ini kepada pihak sekolah dan guru semata-mata.

“Sekolah dan guru hanya menerima pelajar hasil didikan kita sebagai ibu bapa,” katanya lagi.

Dalam masa sama, MCPF komited memperluaskan program intervensi dan kesedaran melalui seminar serta latihan kepada guru, ibu bapa dan komuniti setempat bagi membendung gejala buli dan salah laku murid.

Beliau berkata, MCPF juga akan memperkasa Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ) di sekolah-sekolah bagi menanam nilai murni, semangat perpaduan dan kesedaran sosial dalam kalangan murid.

“Masalah ini bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya melibatkan semua pihak sama ada sekolah, ibu bapa dan masyarakat.

“Dengan kerjasama erat dan tindakan segera, kita mampu membentuk sekolah yang selamat dan generasi muda yang berdisiplin serta bebas jenayah,” tegasnya. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast