KUANTAN – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan mengadakan latihan demonstrasi tempur melibatkan pesawat pejuang, helikopter dan Pasukan Khas TUDM (PASKAU) di Pantai Hiburan Rompin, Pahang bermula 22 hingga 25 Oktober 2025 ini.
Sehubungan itu, orang awam di sekitar daerah itu dinasihatkan tidak panik dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat TUDM terbang rendah serta terdengar bunyi letupan.
Malah, orang awam yang hadir dan parkir kenderaan di sekitar Pantai Hiburan pada tarikh tersebut agar dapat membuka sedikit cermin tingkap kenderaan bagi tujuan keselamatan dan menggelakkan sebarang kejadian tidak diigini berlaku akibat impak kepada bunyi letupan semasa demonstrasi dilaksanakan.
“Demonstrasi tersebut adalah sempena Upacara Pengurniaan Beret Biru PASKAU dan Majlis Penutup Kursus Komando TUDM pada 26 Oktober 2025 yang akan dipertontonkan kepada tetamu kenamaan, ahli keluarga anggota TUDM yang berjaya menamatkan latihan komando TUDM serta masyarakat setempat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, dalam demonstrasi ini, TUDM akan mempamerkan keupayaan serta kesiagaan aset-aset, juruterbang dan anak kapal serta anggota PASKAU dalam melakukan serangan terhadap kawasan musuh serta menyelamatkan tebusan. – MalaysiaGazette
















