KUALA LUMPUR – Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan ‘kuota khas cuti’ dalam pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95).
Pemangku Wira Putra, Dr. Mohamad Izwan Zainal berkata, ia supaya tambahan kuota petrol RON95 dapat diberikan secara harian atau berdasarkan purata penggunaan pada musim cuti sekolah dan cuti-cuti perayaan.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja lebih adil, malah menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan sebenar rakyat.

Dakwa beliau, pihaknya menerima rungutan ramai pengguna berhubung kesukaran menampung penggunaan petrol yang meningkat mendadak sepanjang cuti perayaan Deepavali baru-baru ini.
“Walaupun rakyat telah menikmati kadar harga minyak yang rendah sebelum ini, had kuota sebanyak 300 liter sebulan nyata menekan pengguna, khususnya pada musim cuti panjang dan perayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini
Menurut beliau, ‘kuota khas cuti’ yang dicadangkan itu bukan soal pembaziran, tetapi merupakan realiti hidup majoriti rakyat.
Ujarnya, apabila tibanya musim perayaan, majoriti rakyat akan pulang ke kampung atau bercuti bersama keluarga dan dalam keadaan itu, kuota 300 liter petrol sebulan langsung tidak mencukupi.
“Wira Putra menegaskan bahawa kerajaan perlu segera menambah baik mekanisme sedia ada.
“Rakyat tidak meminta subsidi berlebihan, hanya keanjalan dasar yang berpaksikan realiti kehidupan,” katanya.
Tambah beliau, sudah tiba masanya kerajaan berhenti melihat isu subsidi petrol itu dari sudut angka semata-mata, tetapi dari kaca mata rakyat yang berjuang setiap hari untuk bergerak, bekerja dan pulang ke kampung mereka. – MalaysiaGazette
















