PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengenalpasti sekolah-sekolah yang mempunyai berkeperluan mendesak untuk diberi keutamaan bagi pelaksanaan program rondaan polis.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerjasama itu terarah kepada sekolah-sekolah yang mempunyai kes-kes disiplin seperti ponteng, gengsterisme atau pengaruh negatif media sosial.
Jelasnya, polis perlu tingkatkan rondaan yang bersifat ‘omni-presence’ di sesebuah sekolah sebagai langkah menyokong dasar keselamatan digital pelajar yang diperkenalkan kerajaan.
“Daripada 12,000 sekolah ini, pihak sekolah tentu sudah ada analisis sekolah-sekolah yang ada masalah disiplin misalnya, ponteng dan gangsterisme ataupun displin terdedah yang melampau terhadap sosial media yang menyumbang kepada perubahan karakter murid, pihak sekolah tentu ada statistik ini,’ katanya selepas merasmikan Simposium Sains Dadah Kebangsaan 2025 di sini, hari ini.
Beliau berkata, tindakan itu diambil selepas Kabinet mengarahkan KDN melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tampil lebih kerap di kawasan sekolah dalam usaha kerajaan mengekang aktiviti jenayah dalam kalangan remaja.
Saifuddin Nasution berkata, polis telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan strategi baharu untuk meningkatkan keberadaan mereka di sekolah yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, polis juga diminta bersedia untuk memberikan taklimat mengenai keselamatan ketika perhimpunan sekolah bagi memastikan murid mahupun pelajar peka dengan keselamatan masing-masing.
“Seminggu katalah di (sekolah) ada 3 hingga 4 kali perhimpunan sekolah, polis boleh ambil sekali untuk melakukan perkara tersebut,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution menambah, arahan ini telah disampaikan kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Timbalannya, Tan Sri Ayob Khan.
“KDN yakin langkah ini akan memperkukuh keselamatan sekolah dan pada masa sama membantu mendidik pelajar tentang disiplin, tanggungjawab serta keselamatan diri,” katanya lagi.
Sebelum ini, KPM dalam kenyataannya memaklumkan beberapa langkah tambahan dalam masa terdekat berhubung usaha menambah baik aspek keselamatan di sekolah serta disiplin murid dan pelajar sebagaimana keputusan Jemaah Menteri.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, beberapa insiden yang berlaku baru-baru ini menuntut pihaknya bekerja dengan lebih giat bagi memperbaiki kelompongan yang wujud demi memastikan keselamatan anak-anak, para guru serta seluruh warga pendidikan. – MalaysiaGazette
















