PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi menerusi Jawatankuasa Penajaan telah menerima sumbangan tajaan sebanyak RM22.31 juta sempena sambutan Bulan Kebangsaan yang merangkumi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tajaan dalam bentuk tunai, barangan dan perkhidmatan itu diberikan oleh 123 rakan strategik yang bekerjasama dengan kementerian tersebut.
“Daripada jumlah itu, RM1.96 juta dalam bentuk tunai manakala RM20.35 juta tajaan dalam bentuk barangan dan perkhidmatan. Ini peningkatan sangat besar, tahun lepas kita berjaya kumpul secara tunai sahaja RM4 juta,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam ini.
Beliau berharap pihak korporat, swasta dan pemain industri yang berkaitan akan meneruskan kolaborasi bersama kementerian berkenaan dalam menjayakan sambutan yang sama, pada tahun akan datang.
“Terima kasih dan diharapkan kerjasama erat ini dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang.
“Saya yakin dengan kerjasama semua pihak, kita akan saksikan sambutan yang lebih gemilang, meriah dan penuh dengan semangat perpaduan dan patriotism pada masa akan datang,” tambah beliau.
Fahmi selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 terdahulu menyifatkan sambutan tersebut berjalan dengan lancar dan berjaya.
“Kita berada di sini pada malam ini sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dan kerja keras tuan dan puan dalam memastikan kejayaan sambutan Bulan Kebangsaan yang merangkumi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.
“Bermula dengan pelancaran dan kibar Jalur Gemilang sehingga kemuncak di Dataran Putrajaya yang menyaksikan lebih 100,000 pengunjung serta Sambutan Hari Malaysia di Pulau Pinang pada 16 September,” katanya lagi.-MalaysiaGazette
















