KUALA LUMPUR – Selepas setahun insiden lubang benam di Jalan Masjid India, kawasan itu kini telah kembali pulih seperti sedia kala.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menegaskan kini tiada kawasan berisiko untuk kejadian lubang benam di ibu kota.
“DBKL sekarang ini sedang melaksanakan kajian geoteknikal struktur lapisan tanah sekitar segitiga emas Kuala Lumpur bagi mengenal pasti profil dan kestabilan tanah di pusat bandar.
“Dapatan ini penting untuk keselamatan delegasi ASEAN khususnya pada aspek insiden bencana infrastruktur seperti lubang benam.
“Pelbagai aktiviti keramaian telah diadakan di sana seperti sambutan Deepavali baru-baru ini dan jumlah kehadiran membuktikan bahawa keyakinan orang awam untuk kembali ke kawasan tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum itu, Dr Zaliha berkata, kegagalan struktur paip pembetungan yang mereput akibat tindak balas kimia serta ketidakstabilan tanah merupakan faktor utama terbentuk rongga di bawah struktur pejalan kaki sekali gus mencetuskan insiden lubang benam di Jalan Masjid India pada Ogos 2024.
Menurut beliau, laporan penuh mengenai insiden berkenaan telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 20 Ogos lalu dan edisi khas laporan bagi tujuan bacaan umum akan dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akhir tahun ini.
“Pendedahan laporan ini diharap dapat memberi kelegaan kepada orang awam yang sebelum ini bimbang bahawa Kuala Lumpur dibina di atas lapisan batu kapur yang rapuh,” katanya.
Dalam masa yang sama, menurut Dr Zaliha, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan membentangkan laporan tersebut kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi.
Sebagai rekod, insiden lubang benam di Jalan Masjid India pada 23 Ogos tahun lalu merupakan kejadian tanah jerlus sedalam lapan meter yang menyebabkan seorang pelancong wanita warganegara India, G Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke dalamnya.
Selepas sembilan hari operasi mencari dan menyelamat, ia ditamatkan pada 31 Ogos 2024 tanpa menemui mangsa. -MalaysiaGazette
















